My Add

Thursday 17 April 2014

Hakim minta Kit Siang, UMMB selesai pertikaian kes saman

KUALA LUMPUR, RABU, 16 April, 2014:Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) untuk menyelesaikan pertikaian yang dibangkitkan dalam kes saman fitnah terhadap syarikat akhbar tersebut berhubung satu artikel yang diterbitkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 18 Ogos 2013.

Peguam Joanne Chua yang mewakili Kit Siang memberitahu pemberita, Hakim Datin Yeoh Wee Siam meminta anak guamnya dan UMMB supaya menghadiri proses mediasi (timbangtara) untuk menyelesaikan pertikaian tersebut menerusi rundingan.

Beliau bagaimanapun menyatakan, pihaknya belum mendapat sebarang arahan daripada Kit Siang berhubung usaha menyelesaikan saman itu yang menyentuh mengenai penyiaran artikel pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Joanne memberitahu, mahka­mah hari ini membenarkan permohonan Kit Siang untuk meminda tajuk artikel iaitu Kit Siang manipulasi CEC? kepada Kit Siang manipulasi pemilihan CEC?

Fakta lain dalam saman itu, ujar Joanne, tiada sebarang perubahan dan Hakim Wee Siam menetapkan 14 Julai depan bagi pengurusan kes itu sebelum perbicaraan didengar pada 21 dan 22 Ogos depan.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 19 September 2013, Kit Siang selaku pihak plaintif mendakwa UMMB yang dinamakan sebagai pihak defendan tunggal telah menyiarkan artikel yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah dan menuntut satu jumlah ganti rugi am, teruk dan teladan.

UMMB dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 25 November 2013 menyatakan, artikel tersebut ditulis berkaitan satu buku kecil Laporan Ekuiti yang dikatakan disusun oleh Father Augustus Chen dan telah disebarkan kepada masyarakat umum.

Syarikat akhbar itu menyatakan, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya dalam mendapatkan dan mengesahkan maklumat yang terdapat dalam artikel berkenaan dan ia berlandaskan perlindungan bersyarat serta kepentingan awam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment