My Add

Friday 18 April 2014

Empat bekas pegawai tertinggi Sime Darby didakwa salah guna kuasa

JOHOR BAHRU, KHAMIS. 17 April, 2014: Empat bekas pegawai tertinggi Sime Darby Engineering Sdn. Bhd. (SDE) ma­sing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berhubung salah guna kuasa melibatkan penganugerahan kontrak perkhidmatan kepada sebuah syarikat, enam tahun lalu.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan Bahagian Tenaga & Utiliti Kumpulan, Abdul Rahim Ismail, 52; bekas Naib Presiden Eksekutif bahagian sama, Datuk Mohamad Shukri Baharom, 52; dan bekas Ketua Unit Perniagaan Minyak & Gas bahagian sama, Abdul Kadir Alias, 48, didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa.
Sementara bekas Pengurus Besar Kanan SDE, Mohd. Zaki Othman, 52, didakwa bersubahat dengan ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahim, Mohamad Shukri dan Abdul Kadir secara bersama sebagai pengarah syarikat SDE didakwa telah menggunakan kedudukan mereka menganugerahkan satu kontrak perkhidmatan kepada syarikat Incobliss Consulting Sdn. Bhd. di pejabat SDE di Jalan Suasa, Pasir Gudang pada 18 hingga 20 Ogos 2008.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 132(2)(c) Akta Syarikat 1965 (Akta 125) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka turut didakwa dengan pertuduhan pilihan iaitu pada tarikh dan tempat yang sama didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan menganugerahkan satu kontrak perkhidmatan kepada syarikat Incobliss Consulting Sdn. Bhd.

Penganugerahan tersebut didakwa bukan untuk kepentingan syarikat kerana Incobliss Consulting Sdn. Bhd., tidak memberi sebarang perkhid­matan kepada SDE seperti yang termaktub dalam kontrak.

Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 132(1)(c) Akta Syarikat 1965 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mohd. Zaki pula didakwa bersubahat dengan ketiga-tiga tertuduh melakukan kesalahan salah guna kuasa itu pada tarikh dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 132(1) dan Seksyen 132 (2)(c) akta sama dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Kesemua pertuduhan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3)(b) Akta Syarikat yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Steve Chin Yun Cheong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Nordin Hussin.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Mei ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment