My Add

Friday 18 April 2014

Raja Ahmad lantik saudara sebagai wakil

Oleh SUWARNI MOKHTAR

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 April, 2014: Suami kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar me­lantik seorang saudaranya untuk menjadi wakil beliau dalam Jawatankuasa Pendamai yang ditubuhkan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mencari penyelesaian dalam kemelut rumah tangga pasangan tersebut.

Peguam syarie, Zulkifli Che Yong dan Azmi Mohd. Rais yang mewakili Raja Ahmad Shahrir Raja Salim, 35, selaku defendan memaklumkan perkara tersebut hari ini kepada Hakim Syarie, Ab. Malek Awang sewaktu sebutan kes permohonan cerai yang difailkan oleh Nurul Izzah awal tahun ini.

Wakil tersebut, Mohd. Fauzi Mustaffa, 45, bagaimanapun tidak hadir pada prosiding hari ini kerana berada di Labuan, Sabah.

Difahamkan, Mohd. Fauzi merupakan seorang pendakwah.

Raja Ahmad Shahrir dan Nurul Izzah masing-masing telah diberi pengecualian untuk tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Pada prosiding terdahulu, Nurul Izzah, 34, memaklumkan bahawa beliau melantik bapa saudaranya, Rosli Ibrahim sebagai wakilnya dalam jawatankuasa terbabit.

Sementara itu, peguam syarie, Normawaddah Ramli yang mewakili anak sulung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memohon agar jawatankuasa itu diteruskan walaupun tanpa keha­diran wakil defendan.

"Sebelum ini, defendan memaklumkan akan melantik abangnya yang berada di Qatar, Arab Saudi. Sekarang wakil yang baru dilantik berada di Labuan. Saya memohon agar perbincangan Jawatankuasa Pendamai diteruskan walaupun wakil defendan masih tidak hadir bagi menjimatkan masa mahkamah," katanya yang dibantu oleh peguam syarie, Nor Azmi Mohd. Arif.

Zulkifli kemudian memberitahu anak guamnya menukar wakil yang lain disebabkan kos yang tinggi sekiranya terus melantik abangnya.

Ab. Malek kemudian memaklumkan pihak-pihak terlibat bahawa nama wakil-wakil terbabit akan dihantar ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) agar satu pertemuan diadakan bagi mencari penyelesaian.

Jawatankuasa Pendamai itu perlu menghantar laporan hasil pertemuan wakil-wakil kepada mahkamah pada 12 Jun ini.

Jawatankuasa yang terdiri daripada seorang pengerusi (pegawai agama) dan wakil daripada setiap pihak ditubuhkan bagi membantu pasangan itu mencapai sebarang penyelesaian.

Penubuhan Jawatankuasa Pendamai tersebut dibuat mengikut Seksyen 47(5) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Menurut akta tersebut, jawatankuasa berkenaan diberi masa sehingga enam bulan bagi membantu pasangan untuk mencapai sebarang penyelesaian.

Sekiranya jawatankuasa tersebut gagal mencapai sebarang persetujuan atau pasangan terbabit enggan meneruskan perkahwinan mereka, mahkamah perlu menasihati si suami untuk melafazkan talak.

Nurul Izzah memfailkan permohonan cerai terhadap Raja Ahmad Shahrir pada 8 Januari lalu dengan alasan, tiada lagi persefahaman dan rasa kasih sayang (tiada mawaddah dan rahmah).

Pasangan itu berkahwin pada 9 Mei 2003 di kediaman Anwar di Damansara dan dikurniakan dua anak, Raja Nur Safiyah, 7, dan Raja Ahmad Harith, 5. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment