Hukuman penjara 5 pelatih pusat serenti dikekalkan
PUTRAJAYA, KHAMIS, 03 April, 2014: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara di antara tujuh tahun dan 10 tahun serta denda berjumlah RM20,000 terhadap lima lelaki atas kesalahan merusuh dengan membakar tujuh blok bangunan sebuah pusat serenti, hampir lima tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian selepas kelima-limanya menarik balik rayuan masing-masing.
Mereka yang ketika itu merupakan pelatih di pusat berkenaan dikenali sebagai J.R. Murugesan, 33; S. Kumaradevan, 37; I. Subramaniam, 32; V. Sivasangar, 42, dan Megat Jamaluddin Megat Wazir, 53.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 16 Mei depan bagi mendengar rayuan seorang lagi pelatih, G. Ganesh, 44, selepas perayu tidak hadir hari ini.
Mereka didakwa menyertai satu perhimpunan haram dengan tujuan bersama melakukan khianat menggunakan api sehingga menyebabkan kerosakan tujuh blok bangunan di Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang kira-kira pukul 6.30 petang, 19 Jun 2009.
Kerosakan itu meliputi blok bangunan pentadbiran, stor, dewan utama, kompleks terapi komuniti, pejabat aktiviti, balai pegawai bertugas dan pos polis bantuan.
Dengan keputusan itu, kuorum berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 16 Jun 2012 yang menambah hukuman penjara serta mengurangkan denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth pada 13 Januari 2012.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM3,000 terhadap Murugesan, Subramaniam pula dikenakan penjara tujuh dan denda RM2,000 manakala Kumaradevan, Sivasangar dan Megat Jamaluddin masing-masing dipenjara 10 tahun dan denda RM5,000.
Ketika di Mahkamah Sesyen, Murugesan dipenjara enam tahun, Subramaniam (lima tahun) manakala Kumaradevan, Sivasangar dan Megat Jamaluddin masing-masing dipenjara lapan tahun. Kesemua mereka turut didenda RM50,000 setiap seorang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud manakala perayu-perayu diwakili oleh peguam K. Param. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment