My Add

Friday, 4 April 2014

DNA pada puntung rokok sepadan DNA tiga tertuduh

SHAH ALAM, KHAMIS, 03 April, 2014: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu puntung rokok yang merupakan barang kes dalam kes pembunuhan pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC) Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter Abdullah, disahkan mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) yang berpadanan dengan DNA tiga daripada empat tertuduh dalam kes itu.

Ahli Kimia Jabatan Kimia Malaysia, Mohd. Izuan Othman, 43, berkata, profil DNA pada puntung rokok itu berpadanan dengan profil DNA daripada spesimen darah tertuduh, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22; Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22.

Beliau yang bertugas di bahagian forensik jabatan berkenaan membe­ritahu, DNA dua lagi individu iaitu saksi pendakwaan pertama, Fadhil Rushdan Rahman dan abang Mohamad Zul Sahril iaitu Mohamad Zulfazren turut dikesan pada puntung rokok itu.

Mohd. Izuan yang bertugas selama 17 tahun sebagai ahli kimia berkata demikian melalui pernyataan saksi yang dibacanya semasa memberi keterangan sebagai saksi ke-18 pendakwaan dalam perbicaraan kes bunuh Zara Eleena, 23, dan Omar Peter, 56.

Dalam kes itu, empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat dan Muhamad Safwan yang didakwa membunuh dua beranak tersebut di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, dua tahun lalu.

Perbicaraan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin mewakili pihak pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman.

Mohd. Izuan turut memberitahu mahkamah, kesan DNA pada seluar jeans '35' berpadanan de­ngan profil DNA yang diperoleh daripada spesimen darah Mohamad Zul Shahril.

Katanya, beliau menjalankan pemprofilan DNA menggunakan teknik Polymerase Chain Reaction (PCR) terhadap sampel barang kes yang dise­rahkan kepadanya.

Semasa disoal balas peguam, Afifuddin Ahmad Hafifi, beliau bersetuju tidak mengetahui dari mana puntung rokok dan seluar jeans itu diambil dan turut bersetuju terhadap soalan peguam bahawa beliau tidak menge­tahui puntung rokok telah dirampas dari rumah sewa Mohamad Zul Shahril. Perbicaraan akan bersambung 28 April sehingga 2 Mei ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment