My Add

Sunday 20 April 2014

Institusi raja bukan hiasan

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

KUALA KANGSAR, SABTU, 19 April, 2014: Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, institusi raja bukanlah 'cermin lama untuk melihat wajah yang telah tua' dalam sistem pentadbiran negara.

Titah baginda, institusi raja juga bukan hiasan, sebaliknya adalah institusi utama yang termaktub secara perundangan dalam perlembagaan negara.

Baginda bertitah, ini terbukti apabila 10 peratus iaitu 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara-perkara berkaitan dengan raja.

"Ini bermakna Malaysia yang mengamalkan kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada raja pemerintah.

"Oleh itu, institusi raja perlu bertenaga agar berupaya memenuhi tuntutan, juga bersifat dinamik untuk bersedia menghadapi cabaran," titah Raja Nazrin.

Raja Nazrin bertitah semasa Istiadat Menghadap Sembah Titah Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-86 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, di sini hari ini.

Titah Raja Nazrin, fungsi raja dalam kerajaan adalah memerintah dan bukannya mentadbir, menjadi payung kedaulatan negara, memberi naungan saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

Titah baginda, institusi raja berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

"Jadi sudah semestinya institusi raja ini sentiasa tidak bersifat partisan, tidak terlibat dalam polemik politik kepartian demi memastikan peranannya diterima baik.

"Institusi raja diperlukan untuk berperanan sebagai penimbang tara, mendamaikan sebarang persengketaan di dalam negara," titah baginda.

Raja Nazrin seterusnya bertitah, dalam menyelami minda agar dapat lebih memahami tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan terutama untuk menghadapi generasi muda, baginda sentiasa mengimbas ingatan terhadap semangat permuafakatan yang terukir dalam sejarah lama antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun.

Titah baginda, itu merupakan satu kontrak sosial menyentuh hubungan raja dengan rakyat dan hubungan rakyat dengan raja.

"Menerusi kisah itu, rakyat akan kasih dan setia kepada raja yang adil berlandaskan semangat 'raja adil raja disembah'.

"Beta juga amat insaf bahawa daulat dan darjat seseorang raja 'tidakkan pipis datang melayang, tidakkan bulat datang menggolek'.

"Justeru, keluhuran institusi raja perlu dipelihara daripada sebarang noda dan dikawal daripada sebarang pencemaran," titah baginda.

Mengenai istiadat hari ini,

baginda bertitah, majlis itu melambangkan citra untuk terus mendaulatkan institusi raja.

Titah baginda, itu juga merupakan satu pelanjutan adat dan satu kesinambungan budaya yang diteruskan dalam era moden.

"Majlis ini melambangkan keindahan adat dan kekayaan budaya kukuh dalam tradisi negara bangsa dan menyegarkan keaslian adat.

"Ini juga mengekalkan identiti satu tamadun pemerintahan

negeri beraja rakyat bersultan yang sekian lama berakar dalam sistem berkerajaan dan bernegara di rantau ini," titah baginda. = UTUSAN

No comments:

Post a Comment