My Add

Sunday 20 April 2014

Kesatuan sumber kekuatan

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

KUALA LUMPUR, SABTU, 19 April, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesatuan dalam kepelbagaian antara masyarakat negara ini merupakan sumber kekuatan Malaysia walaupun ketika menempuh sesuatu ujian.

Beliau berkata, perkara tersebut juga diamalkan oleh komuniti penganut agama Kristian dan Katolik yang turut menyumbang dalam masyarakat negara ini.

Kata beliau, bersempena dengan sambutan `Good Friday' yang diikuti `Easter Sunday' yang disambut penganut agama itu pada hujung minggu ini, ia turut membawa mesej seumpama itu mengenai harapan dan perdamaian.

"Sambutan hari tersebut merupakan perayaan penting oleh masyarakat Kristian dan Katolik dan sebagai sebahagian masyarakat Malaysia yang memerhatikan `masa suci' ini dalam kalendar Rom, marilah kita memperingati berhubung mesej harapan dan perdamaian ini.

"Dalam hal itu marilah kita mengambil masa itu untuk menghantar ingatan dan doa kepada mereka yang terlibat dengan penerbangan MH370 dan ahli keluarganya,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas bersempena sambutan perayaan itu sebagaimana yang disiarkan menerusi blog http://www.1malaysia.com.my, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, perjalanan komuniti Kristian dan Katolik bersama kerajaan telah membawa banyak perubahan positif kepada negara ini.

Sebagai menghargai sumbangan itu, atas dasar semangat 1Malaysia, jelas beliau, kerajaan telah mengumumkan pada sambutan Krismas lalu bahawa mereka yang berhasrat untuk mengunjungi Baitulmaqdis untuk melakukan ibadah boleh berbuat demikian.

"Mengambil semangat melalui mesej harapan dan perdamaian ini, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyertai saya dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik untuk semua.

"Dengan itu, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Easter kepada seluruh masyarakat Kristian dan Katolik di Malaysia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment