My Add

Friday 25 April 2014

Jeff Ooi mahu Khalid dipecat

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
 
 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 April, 2014: Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menerima tamparan hebat apabila pemimpin DAP yang menjadi sekutu mereka secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ekoran kegagalan menangani isu air.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi (gambar), iaitu salah seorang pemimpin kanan DAP yang rapat dengan Setiausaha Agung belum disahkan, Lim Guan Eng, mahu Abdul Khalid dipecat kerana dakwanya, Menteri Besar Selangor itu memegang jawatan tersebut lebih lama daripada tempoh sepatutnya.

Beliau yang berang dengan kegagalan pentadbiran PKR di bawah Abdul Khalid menguruskan isu air sehingga catuan telah berlarutan sejak dua bulan lalu berkata, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini termasuk ketika di zaman Barisan Nasional (BN).

“Setiap wakil rakyat mesti bayangkan kesusahan orang ramai ekoran masalah air ini. Kita tidak pernah menghadapi catuan yang berlarutan seperti ini termasuk ketika Selangor di bawah pentadbiran BN. Kegagalan pakatan (pembangkang) adalah kegagalan pakatan.

“Abdul Khalid telah memegang jawatan melebihi tempoh yang dialu-alukan. Pecat Menteri Besar," katanya menerusi Facebooknya sambil mendedahkan bagaimana beliau yang mempunyai rumah di Subang Jaya terpaksa 'mandi kerbau' akibat masalah itu.

Dalam kenyataan sama, Jeff Ooi turut mempersoalkan, apakah Abdul Khalid mengalami kesusahan seperti dihadapi rakyat Selangor iaitu hampir setiap hari tiada bekalan air atau kediaman Menteri Besar Selangor tersebut bebas daripada masalah catuan.

Kerajaan Pusat sebelum ini berulang kali mengingatkan Kerajaan PKR Selangor bahawa negeri itu bakal berdepan krisis air mulai 2014 jika projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) tidak dipercepatkan tetapi Abdul Khalid didakwa tidak mengendahkannya.

Beliau sebaliknya hanya bertindak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi membolehkan projek Langat 2 diteruskan pada Februari lalu tetapi dianggap terlewat dan kini Selangor berdepan masalah air. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment