My Add

Friday 25 April 2014

Tiada kenaikan harga tinggi - TPM

PUTRAJAYA, KHAMIS, 24 April, 2014: Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, pemeriksaan harga barangan keperluan pengguna di 9,,500 premis perniagaan di seluruh negara pada Januari hingga Mac tahun ini mendapati tidak berlaku kenaikan harga yang tinggi malah terdapat juga penurunan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menjalankan kutipan harga seperti barangan basah, barang runcit/kering, barang berbungkus/tin/pek, makanan bayi, rempah-ratus dan siap masak bagi memastikan kedudukan sebenar harga barangan itu.

Kenyataan akhbar berhubung hasil analisis perbandingan harga itu dikeluarkan selepas Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup Rakyat selama dua jam di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Muhyiddin memberikan contoh tinjauan harga itu seperti telur ayam gred B (10 biji) yang kekal pada harga RM3.70 di Semenanjung, Sabah (RM3.90) dan Labuan (RM4.30) dalam tempoh Januari hingga Mac, manakala harga di Sarawak turun dari RM3.60 (Januari) kepada RM3.30 (Mac).

Katanya, pemantauan itu juga mendapati harga ayam bersih standard di Semenanjung mengalami kenaikan sebanyak 10 sen dari RM7.60 (Januari) kepada RM7.70 (Mac).

Sementara harga ayam bersih, kata Muhyiddin, mengalami penurunan di Sarawak dari RM9.10 (Januari) kepada RM8.70 (Mac), Sabah dari RM10.70 (Januari) kepada RM9.80 (Mac) dan Labuan dari RM10.60 (Januari) kepada RM10.52 (Mac).

Tambah beliau, bagi ikan kembung hitam, harga mengalami penurunan di Semenanjung, Sarawak dan Labuan iaitu di Semenanjung harga turun dari RM8.60 (Januari) kepada RM7.50 (Mac) dan di Labuan, harga turun dari RM12 (Januari) kepada RM10 pada bulan Mac.

Walau bagaimanapun, katanya, di Sabah ia mengalami kenaikan kecil dari RM6.70 (Januari) kepada RM7.40 di bulan Mac.

Jelas Muhyiddin, harga daging lembu tempatan mengalami penurunan di Sabah dari RM21.30 (Januari) kepada RM19.90 (Mac) manakala di Labuan tiada perubahan harga dan berlaku kenaikan kecil di Semenanjung (Januari) dari RM24.20 kepada RM24.90 (Mac). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment