My Add

Saturday 19 April 2014

Kepincangan selepas ketiadaan Karpal?

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 18 April, 2014: DAP diramal berdepan dengan kepincangan ekoran kematian bekas Pengerusinya, Karpal Singh, 74, dalam kemalangan di Kilometer 306.1, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara berhampiran Gua Tempurung, Perak, awal pagi semalam.

Bekas Ketua Cawangan DAP Taman Seri Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor merupakan tulang belakang parti itu dan ketiadaan beliau secara tidak langsung bakal memberi kesan terhadap hala tuju DAP.

'Mendiang merupakan pemimpin dan ahli politik yang hebat malah sumbangan dan usaha beliau untuk DAP tidak mungkin dapat ditandingi pihak lain.

'Mungkin selepas ini pimpinan DAP tidak sama seperti dahulu ketika Karpal masih ada,' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Tat melahirkan harapan agar jawatan Pengerusi DAP diserahkan kepada anak mendiang iaitu Gobind Singh Deo dan bukannya Lim Guan Eng yang merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan.

Beliau berkata, cadangan itu turut disokong oleh bekas dan juga ahli-ahli DAP.

'Gobind dilihat berkeupayaan untuk meneruskan perjuangan DAP berbanding Guan Eng yang hanya ingin meluaskan empayar Dinasti Lim,’’ tegasnya.

"Lagipun, masalah berkaitan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam Kongres Khas parti itu tahun lepas yang masih belum selesai jelas menunjukkan Guan Eng tidak layak untuk diberi jawatan tersebut,' katanya yang turut merakamkan takziah atas kematian Karpal .

Katanya, kematian Karpal merupakan satu tamparan hebat buat DAP dan kehilangan besar buat ahli keluarganya.

"Mendiang akan sentiasa diingati sebagai seorang ahli politik yang disegani dalam legasi pembangunan negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment