My Add

Friday 25 April 2014

Lawatan Obama akan rangsang kemasukan pelaburan ke Malaysia

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 24 April, 2014: Malaysia berharap lawatan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama akan merangsang kemasukan pelaburan asing, terutama dari AS ke negara ini, kata Duta Khas Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Menurutnya, kehadiran Obama di sini akan meningkatkan keyakinan pelabur, terutama di kalangan syarikat Amerika, yang Malaysia menawarkan persekitaran kondusif untuk perniagaan hasil daripada kestabilan politik.

Elemen lain yang memihak kepada Malaysia, katanya, ialah Malaysia secara relatifnya terlindung daripada bencana alam.

“Lawatan presiden itu diharapkan akan menarik lebih banyak pelaburan ke negara kita dan kita boleh berbincang mengenai perdagangan baharu dengan Amerika," katanya kepada BernamaTV dalam temubual khas menjelang lawatan Presiden AS itu mulai 26 hingga 28 April ini.

Jamaluddin yang kini Penasihat di Jabatan Perdana Menteri berkata, peningkatan pelaburan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini.

Menurutnya, Malaysia berminat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan adalah penting untuk memastikan industri berteknologi tinggi Amerika terus meningkatkan kehadiran mereka di negara ini.

Obama dijangka tiba pada tengah hari Sabtu ini, lawatan pertama Presiden AS dalam tempoh 48 tahun sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Ia adalah sebahagian daripada lawatan ke empat negara Asia yang meliputi Jepun, Korea Selatan dan Filipina.

Jadual lawatannya termasuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menghadiri jamuan negara yang dihoskan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Program lain ialah lawatan ke Masjid Negara dan Muzium Seni Islam di samping pertemuan dengan pemimpin muda Asia Tenggara dalam sesi perbincangan di Universiti Malaya.

Jamaluddin juga berkata, Kuala Lumpur mungkin mengambil peluang itu untuk menekankan pendiriannya mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (ATTP) yang kini sedang dirundingkan.

“Kita mungkin boleh menangani sebahagian daripada cabaran yang dihadapi negara dalam rundingan TPPA itu," katanya sambil menambah, perjanjian perdagangan dengan negara Rim Pasifik berpotensi memanfaatkan Malaysia.

Jamaluddin percaya, TPPA itu akan akhirnya memberi manfaat kepada ekonomi negara dan menghasilkan pendapatan tinggi yang mampan untuk masyarakat luar bandar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment