MH370: MPM kecam tindakan perlekeh misi SAR
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 04 April, 2014: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengecam tindakan sesetengah media antarabangsa dan pemimpin pembangkang di negara ini termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengambil kesempatan daripada kejadian kehilangan pesawat MH370 dengan 'permainan saling menyalahkan' sehingga mencemari usaha murni misi mencari serta menyelamat (SAR) pesawat berkenaan.
Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, kejadian kehilangan MH370 bukan hanya melibatkan Malaysia tetapi adalah tragedi global yang menyaksikan sebanyak 26 buah negara terlibat dalam misi SAR sejak pesawat berkenaan dilaporkan hilang 8 Mac lalu.
Kata beliau, kemampuan Malaysia menyelaras operasi SAR yang amat besar dan rumit mendapat penghargaan serta pengiktirafan banyak pihak namun ada juga pihak tergamak mengambil kesempatan daripada kejadian itu.
''Mereka ini dengan sengaja memadamkan hati simpati mereka, berfikiran sama seperti manusia zalim, memainkan api permainan saling menyalahkan tatkala ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 berdukacita. Di manakah sifat-sifat kemanusiaan mereka?,'' katanya kepada pemberita di Wisma Bernama di sini hari ini.
Sehubungan itu, MPM menyeru semua media tempatan supaya lebih proaktif dalam mengekang laporan dan kenyataan negatif yang mempelekehkan usaha SAR MH370. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment