My Add

Friday 18 April 2014

Operasi menyelamat sukar

 * PASUKAN pengawal pantai Korea Selatan menghadapi kesukaran menjalankan operasi mencari dan menyelamat baki 284 penumpang sebuah feri yang karam di kawasan perairan di selatan negara itu, semalam ekoran cuaca buruk. - AGENSI
MOKPO, Korea Selatan, KHAMIS, 17 April, 2014: Ombak kuat, hujan dan jarak penglihatan terhad, hari ini menyukarkan usaha mencari dan menyelamat 284 penumpang yang masih hilang selepas feri yang mereka naiki karam di kawasan perairan selatan negara ini, semalam.

Sebanyak sembilan orang termasuk lima pelajar sekolah menengah dan dua orang guru disahkan terbunuh dalam kejadian itu dan angka korban dijangka meningkat berikutan tempoh masa mangsa terperangkap di dalam feri atau disebabkan kesejukan air laut.

Keluarga mangsa yang menunggu perkembangan terkini tentang keadaan penumpang feri itu, yang kebanyakan mereka adalah pelajar sekolah menengah, melahirkan kemarahan ekoran kekurangan maklumat dan merasakan operasi menyelamat yang dijalankan tidak mencukupi.

Portal berita Daily Mail melaporkan Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong-won dilempar dengan botol air ketika beliau bertemu keluarga mangsa di Jindo, selatan Seoul, awal pagi ini.

Anggota keluarga mangsa melahirkan kemarahan mereka ekoran operasi menyelamat ditangguhkan pada waktu malam dan hanya disambung semula pada awal pagi ini.

Feri Sewol tersebut yang membawa 462 penumpang termasuk 325 pelajar sekolah karam ketika dalam perjalanan ke destinasi pelancongan popular, Pulau Jeju.

Jurucakap Pengawal Pantai, Kim Jae-in berkata, tiga kapal yang akan membawa kren dijadual tiba di tempat kejadian bagi membantu operasi menyelamat dalam tempoh dua hari.

"Unit penyelam cuba memasuki feri tersebut, namun arus kuat tidak membolehkan mereka berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini menyoal siasat kapten feri tersebut, namun beliau enggan memberikan maklumat lanjut berhubung penyiasatan itu.

Beliau turut enggan mengulas sama ada feri itu telah keluar dari laluan asal yang digunakan untuk ke Pulau Jeju.

Badan penyiaran YTN dan agensi berita Yonhap melaporkan kapten feri itu dikenal pasti sebagai Lee Joon-seok, 60, meminta maaf di atas kejadian itu.

"Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan," kata Joon-seok yang menutup mukanya dalam satu temu bual ringkas yang disiarkan sebuah televisyen tempatan.

Seorang pegawai pengawal pantai berkata, kapten Feri Sewol bakal berhadapan siasatan atas dakwaan jenayah dan kelalaian.

Beliau berkata, terdapat laporan yang belum disahkan mendakwa kapten feri itu merupakan individu pertama yang terjun untuk menyelamatkan diri apabila feri berkenaan mula karam. - AGENSI/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment