My Add

Thursday 24 April 2014

Pemandu bas ambil dadah serius

Oleh Ilah Hafiz Aziz
 
 
KUALA LUMPUR, RABU, 23 April, 2014: Perbuatan mengambil dadah melibatkan kalangan pemandu bas ekspres telah lama menular dan kini berada di tahap membimbangkan.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob (gambar) yang memberitahu, ia berdasarkan terdapat laporan dibuat berhubung pengambilan dadah oleh banyak pemandu bas ekspres.

Malah katanya, laporan itu turut disokong dengan jumlah kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu bas yang dipengaruhi dadah.

“Meskipun pihak JPJ tidak mempunyai banyak data berhubung perkara itu, kami tetap menganggap isu dadah dalam kalangan pemandu bas adalah sesuatu yang amat serius kerana nyawa puluhan penumpang di dalam sesebuah bas bergantung kepada pemandu tersebut.

“Kebanyakan kes pemandu mengambil dadah ini kita kesan apabila mereka terlibat dalam kemalangan. Bagaimanapun saya sendiri yakin amalan penggunaan dadah dalam kalangan pemandu bas ini membimbangkan," katanya.

Semalam JPJ melancarkan operasi memburu pemandu bas ekspres secara besar-besaran di seluruh negara, susulan kemalangan maut yang berpunca dari kesilapan pemandu.

Ditanya apakah yang menyebabkan pemandu bas ekspres mengambil dadah, Yusoff memberitahu, amalan itu dipercayai merupakan salah satu cara untuk mendapatkan tenaga atau ketahanan diri ketika memandu.

“Niat asal pemandu bas ini pada mulanya baik iaitu untuk menambah ketahanan diri ketika memandu jarak jauh dan mereka percaya dengan mengambil dadah akan mampu untuk mengelakkan rasa penat dan mengantuk.

“Namun mereka tidak sedar dadah itu sebenarnya mempengaruhi mereka dan mengganggu pemikiran yang waras. Disebabkan itulah kemalangan maut terjadi. Tiada perkara lain untuk menghilangkan rasa penat seseorang pemandu melainkan rehat secukupnya," katanya.

Mengulas lanjut Yusoff turut memberitahu, kebanyakan pemandu bas yang menggunakan dadah sukar dikesan melainkan pemeriksaan kesihatan secara bulanan dilakukan.

“JPJ menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu setahun sekali iaitu ketika mereka datang memperbaharui lesen memandu.

“Apabila setiap pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan positif dadah, kita tidak akan membenarkan lesen memandu mereka diperbaharui malah rekod kesihatan itu akan kekal dalam data JPJ untuk kegunaan masa depan.

“Oleh demikian sukar untuk kita mengesan sama ada pemandu itu menggunakan dadah atau tidak melainkan pemeriksaan berkala dijalankan namun dalam setiap operasi JPJ, kami telah lama bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalankan pemeriksaan air kencing," katanya.

Tambah Yusoff, hampir 65 hingga 75 peratus kemalangan bas ekspres berpunca akibat kesilapan manusia manakala selebihnya berkaitan masalah teknikal seperti kerosakan bas dan permukaan jalan raya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment