My Add

Saturday 19 April 2014

Pemeteraian FTA tarik minat komuniti perniagaan Turki ke Malaysia

Darripada Zulkifli Jalil

ANKARA, jumaat, 18 April, 2014: Komuniti dan ahli perniagaan Turki berminat untuk menerokai peluang-peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia daripada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang ditandatangani Kuala Lumpur-Ankara semalam.

Sambil menyifatkan pemeteraian FTA itu membuka satu lembaran baharu yang akan memperkasakan hubungan ekonomi kedua-dua negara, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau yakin Malaysia ada kelebihan melalui penghapusan cukai import dan tarif untuk menarik minat tersebut.

Serentak itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa satu Jawatankuasa Teknikal Ekonomi Bersama akan bersidang dalam masa terdekat untuk membincangkan segala isu berbangkit supaya peluang ekonomi dari FTA mampu dirasai ke tahap yang lebih tinggi lagi.

'Dengan FTA ini, potensi yang kita harapkan untuk melonjakkan peluang perdagangan dari paras AS$1.5 bilion pada masa ini mencecah ke AS$5 bilion dalam masa lima tahun merupakan sasaran yang kita akan capai.

'Kita terima dengan positif walaupun sasaran itu dikatakan sasaran besar dan `ambitious’ tetapi melalui FTA, dikira nilai dagangan akan meningkat antara 10 hingga 15 peratus setahun.

'(Dan) melalui FTA ini, maka harapan itu lebih baik lagi dan Erdogan (Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan) telah nyatakan pada saya bahawa Jun ini beliau akan bawa FTA tersebut untuk disahkan oleh dewan Parlimen (Turki),' kata beliau kepada wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke republik ini hari ini.

Pemeteraian FTA Malaysia-Turki atau MTFTA oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Ekonomi Turki, Nihat Zeybekci yang disaksikan oleh Najib dan Erdogan di sini itu antara lain membolehkan pengeksport Malaysia menikmati manfaat melalui penghapusan duti import untuk 68.70 peratus produk termasuk barangan elektrik dan elektronik (E&E), kimia, tekstil dan minyak sawit.

Ini meliputi 67.8 peratus atau AS$247.38 juta eksport Malaysia ke republik benua Asia-Eropah itu.

Dalam sidang akhbar itu, Perdana Menteri turut mengesahkan bahawa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah membuat pelaburan di Turki sebanyak AS$1.4 bilion bagi mengendalikan 20 buah hospital menjelang tahun depan.

'Dari segi nilai pasaran AS$1.4 bilion yang dilaburkan Khazanah pada masa ini, nilainya adalah AS$2 bilion. Ini satu pelaburan yang begitu signifikan. Khazanah yakin bahawa pulangan pelaburan baru ini satu pulangan yang memberangsangkan,' kata beliau.

Di samping itu, kata Najib, Khazanah melalui Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) telah meningkatkan nilai pegangan saham di Lapangan Terbang Istanbul kedua iaitu Lapangan Terbang Sabiha Gökçen (Istanbul) dari 20 peratus kepada 60 peratus. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment