My Add

Friday 18 April 2014

Pencapaian NKRA TBGB 2013 melepasi sasaran - TPM

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

SHAH ALAM, JUMAAT, 18 April, 2014: Pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan bagi Tawaran Baharu Guru Besar (TBGB) 2013 mencatatkan 7.31 peratus atau 7,746 buah sekolah melepasi sasaran enam peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 680 sekolah rendah telah dicalonkan dalam tiga kategori pencalonan termasuk 485 sekolah yang mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 84 peratus.

"Selain itu 186 sekolah dalam lonjakan perdana yang memerlukan lonjakkan 2,050 daripada kedudukan sebelumnya.

"Dan kategori ketiga pula menyaksikan sembilan sekolah berenrolmen besar melebihi 1,000 perlu melonjak 1,250 daripada kedudukan sebelumnya.

"Semua sekolah ini telah diverifikasi oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti yang menyaksikan 566 sekolah, 622 guru besar serta lapan guru penolong kanan telah melepasi semua saringan dan memperoleh sijil audit tanpa teguran serta tiada kes tatatertib," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis anugerah TBGB di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Muhyiddin turut menambah, pencapaian sekolah luar bandar dan pendalaman juga amat memberangsangkan di mana tahun lepas menyaksikan 357 buah sekolah berkenaan menerima anugerah TBGB berbanding 280 pada tahun 2012.

"Malah saya tertarik dengan kejayaan sekolah Orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan Tasik Chini, Pekan yang menjadi satu-satunya sekolah Orang Asli yang memenangi anugerah ini," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut memaklumkan sejumlah RM23,163,800 telah diagih sebagai ganjaran dan dijangka hampir 22,063 warga pendidik termasuk guru besar, guru-guru dan anggota kumpulan pelaksana akan mendapat manfaat daripada ganjaran ini.

"Malah mulai tahun ini pembayaran ganjaran anugerah TBGB akan diperluas kepada semua pegawai perkhidmatan awam persekutuan dan pegawai perkhidmatan negeri yang berkhidmat dengan sekolah Kementerian Pendidikan," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment