My Add

Thursday 24 April 2014

Pencarian dari udara ditangguh lagi

 * SEORANG ahli keluarga penumpang MH370 kelihatan sugul berdiri di hadapan sebuah papan iklan yang tertera dengan tulisan simpati dan sokongan moral daripada orang ramai berhubung kehilangan pesawat itu, di Hotel Metro Park, Beijing, semalam. - AFP
PERTH, RABU, 23 April, 2014: Operasi pencarian dari udara yang dirancang pada Rabu di kawasan berkedudukan 855 kilometer dari barat laut Perth bagi mengesan penerbangan MH370 yang hilang 8 Mac lepas, terpaksa ditangguh susulan cuaca buruk.

Tiga pesawat yang sudah berlepas untuk misi itu pada awal pagi telah dipanggil balik, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan di sini.

Menurut kenyataan terkini JACC itu, cuaca buruk tersebut meng­akibatkan laut bergelora dan jarak penglihatan terjejas, sekali gus membahayakan pasukan mencari.

Operasi pencarian dari udara lazimnya mengambil masa lapan jam untuk perjalanan pergi-balik dan dua jam bagi menjalankan operasi mencari.

Dalam pada itu, 12 kapal yang terlibat dalam misi hari ini meneruskan operasi mereka.

Semalam JACC menangguhkan operasi pencarian dari udara susulan ribut tropika ‘Jack’, bagaimanapun operasi diteruskan kemudian menggunakan lima pesawat tentera.

Misi hari ini dirancang membabitkan 10 pesawat.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 orang, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lalu dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat milik Malaysia Airlines itu sepatutnya mendarat di Bei­jing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara pada awalnya dilaksana di Laut China Selatan sebelum ditumpukan di Lautan Hindi selepas ada pene­muan menunjukkan pesawat melencong jauh daripada laluan asal.

Berdasarkan analisis data satelit dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom, pada 24 Mac lalu iaitu hari ke-17 pencarian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 ‘berakhir di selatan Lautan Hindi’. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment