My Add

Thursday 24 April 2014

Permata Kurnia-Kementerian Wanita akan bekerjasama

 * TUANKU Hajah Haminah berkenan bergambar bersama Rosmah Mansor (tiga dari kiri), isteri Perdana Menteri Maghribi, Nabila Benkirane (kiri), isteri Presiden Republik Kyrgyz, Raisa Atambaeva (dua dari kiri), isteri Presiden Republik Sri Lanka, Shiranthi Rajapaksa (dua dari kanan) dan isteri Presiden Albania, Odeta Nishani (kanan) semasa menerima kunjungan hormat di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA, RRABU, 23 April, 2014: Pusat Permata Kurnia akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memastikan usaha menubuhkan Pusat Austime Kebangsaan itu pada tahun hadapan terlaksana dengan jayanya.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, selain kementerian itu pusat berkenaan merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan beberapa kementerian berkaitan dalam usaha menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan bagi autisme seperti mana yang diimpikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yakin melalui jalinan kerjasama tersebut pusat yang bakal diwujudkan itu akan memberikan perkhidmatan dan pendidikan terbaik kepada golongan autisme setanding dengan peringkat antarabangsa.

“Saya juga menyeru soal penyelidikan autisme diambil perhatian dalam mencari kaedah sesuai bagi memulihkan golongan ini seperti yang dilakukan di Korea Selatan dengan mewujudkan pelbagai metodologi berhubung perkara tersebut.

“Oleh yang demikian, Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal mengambil langkah seterusnya berhubung soal berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup Seminar Antarabangsa Autisme Malaysia (ISAM) 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Wanita Pertama dari lima buah negara yang turut hadir ialah Fatima Khalid Ahmad Al Bashir dari Sudan; Dr. Raisa Atambaeva (Kyrgyzstan); Shiranti Wickramasinghe Rajapaksa (Sri Lanka); Odeta Nishani (Albania) dan Nabila Benkirane (Maghribi).

Sementara itu, Rosmah yang juga penaung ISAM berkata, penganjuran seminar tersebut merupakan langkah terbaik dalam memberi pendedahan dan kesedaran autisme kepada masyarakat.

“Penglibatan lima Wanita Pertama Negara di dalam sesi khas semalam pula merupakan langkah permulaan untuk setiap negara memberikan perkhidmatan terbaik kepada golongan autisme," kata beliau.

Beliau berkata, seminar yang berakhir hari ini telah mencapai sasaran apabila para peserta dan pembentang masing-masing mengutarakan pandangan dan cadangan demi masa depan golongan autisme.

Dalam pada itu, penganjuran ISAM telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) kerana mendapatkan penyertaan paling ramai iaitu sebanyak 1,814 orang.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi kepada Rosmah.

Seminar selama dua hari itu telah dirasmikan oleh Najib semalam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment