My Add

Friday 25 April 2014

PM, TPM dijangka hadir pertandingan akhir PABM2014

SERDANG, JUMAAT, 25 April, 2014: Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2014 Piala Perdana Menteri (PABM2014) bakal sampai kemuncaknya apabila lima peserta akan bersaing bagi kategori antarabangsa dan tiga lagi berentap untuk kategori alam Melayu pada pertandingan akhir malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijadual hadir untuk menyaksikan pertandingan yang bermula pada pukul 8.30 malam di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut dijadual hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Pendidikan kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pertandingan akhir siri ke-8 ini akan dihakimi oleh tujuh orang juri iaitu Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan; Pensyarah Tamu Universiti Sains Malaysia dari Belanda, Dr. Ingrid Cosyn-Mitrasing; Pensyarah Tamu Universiti Malaysia Sabah dari Korea selatan, Myoung Sook Kang.

Turut dipilih sebagai juri adalah Profesor Pengajian Bahasa Rusia/Melayu Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Victor Pogadaev; Pensyarah Program Kesusasteraan dan Kesenian Melayu Universiti Brunei Darulsalam, Dr. Dayang Fatimah Awang Chuchu, Pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr. Mohammad Saleh Rahamad dan Pengarah Urusan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Mohd. Khair Ngadiron

PABM 2014 yang disertai oleh pemidato daripada 75 buah negara menyaksikan Bridget Johnson (Amerika Syarikat); Aiman Saleh Hasn Alammari (Yamen); Waleed Basil Mohammed Ali (Iraq); Sally Jane Hill (Australia) dan Chen Nan (China) akan bersaing bagi kategori antarabangsa selepas mengalahkan 65 peserta dalam peringkat saringan yang bermula 22 April lalu.

Sementara Aiman Ariff Abdul Azij (Malaysia); Selamet Nur Anom (Indonesia) dan Mahamat Yusoh (Thailand) akan berentap untuk kategori alam Melayu selepas berjaya mengetepikan tujuh pemidato lain.

Johan bagi setiap kategori akan menerima piala pusiangan, Piala Perdana Menteri, piala iringan, wang tunai AS$7,000. Naib Johan akan menerima piala iringan dan wang tunai AS$5,000.

Tempat ketiga menerima piala iringan dan wang tunai AS$3,000 sementara peserta peringkat akhir akan menerima piala iringan dan wang tunai AS$1,000.-UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment