My Add

Friday 25 April 2014

PABM2014: Kategori antarabangsa milik siapa?

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

SERDANG, JUMAAT, 25 April, 2014: Tanpa sebarang wakil dari rantau Amerika Latin pastinya piala Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2014 Piala Perdana Menteri (PIBM2014) yang dimenangi oleh Derrick Fernando Jaramillo daripada Panama bagi kategori antarabangsa tahun lalu akan terlepas kepada lima peserta dari rantau lain.

Pertandingan akhir malam ini menyaksikan lima peserta iaitu Bridget Johnson (Amerika Syarikat); Aiman Saleh Hasn Alammari (Yamen); Waleed Basil Mohammed Ali (Iraq); Sally Jane Hill (Australia) dan Chen Nan (China) akan merebut piala yang menjadi idaman pemidato antarabangsa yang begitu hebat menguasai bahasa Melayu tahun sejak 2008.

Tahun lalu Derrick Fernando Jaramillo yang dikenali kerana sentiasa memakai topi tradisi Panama 'toquilla straw hat' yang diperbuat daripada daun pokok 'carludovica palmata' menjadi pilihan juri kerana personaliti yang ditampilkan oleh beliau semasa di atas pentas.

Kemahirnnya dalam bahasa Pantai Timur dan dijalin dengan unsur humor semasa berpidato menjadi fomula yang berkesan untuk merebut piala PABM yang menjadi kebanggaan kerana menjadi lambang pengiktirafan penguasaan bahasa Melayu pada tahap yang tinggi.

Turut tersenarai ke peringkat akhir tahun lalu ialah Abdul Rahman Ibrahim Sulieman (Jordan); Daniel Krausse (Jerman); Abdul Matin Mohammad Azeem (Afghanistan) dan Zhang Yaqi (China).

Pada pertandingan malam ini sukar untuk diramal siapa antara lima peserta terakhir yang akan menjadi juara.

Dua gadis berkulit putih dan berambut perang iaitu pelajar La Trobe University Australia, Sally, 26 dan pelajar University of Wisconsin Amerika Syarikat, Bridget, 19, mempunyai kemampuan penguasaan bahasa Melayu yang mengkagumkan.

Sally akan menyampaikan pidato bertajuk 'Alam Sekitar Milik Kita,' manakala Bridget pula akan menyampaikan pidato bertajuk 'Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh.'

Tanpa sebarang pakaian tradisi yang boleh memikat mata juri dan penonton, kedua-dua mereka bergantung kepada kekuatan pemahaman bahasa Melayu melalui pidato yang bakal disampaikan malam nanti.

Apa yang pasti pada peringkat saringan sehingga ke separuh akhir isi dan fakta yang dipersembahkan oleh kedua-dua peserta inilah yang sebenarnya melayakkan mereka ke peringkat akhir.

Sementara itu, seperti tahun lalu, edisi akhir PABM kali ini sekali lagi menyaksikan dua perserta Asia Barat tersenarai ke peringkat akhir iaitu Walled Basil dan Aiman Saleh.

Walled Basil, 27 yang merupakan pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia akan menyampaikan pidato bertajuk 'Pendidikan Berkualiti Insan Berintegriti.'

Beliau dilihat menjadi antara peserta kegemaran penonton tahun ini bukan sahaja kerana pakaian tradisi yang dipakai tetapi juga ucapan pidatonya yang berbunyi hampir sama dengan penutur asli bahasa Melayu.

Manakala Aiman Saleh pula akan menyampaikan pidato bertajuk 'Malaysia Syurga Makanan Dunia.' Pemuda dari Yaman ini pastinya bakal memikat hati kerana karekternya yang lucu dan unsur-unsur humor yang dimasukkan dalam penyampaian pidatonnya itu.

Apa yang pasti peserta China, Chen Nan berpeluang untuk menebus kekecewaan rakan senegara iaitu Zhang Yaqi yang mendapat tempat kedua tahun lalu.

Seperti Zhang Yaqi, Chen Nan, 21 yang merupakan pelajar Beijing Foreign Studies University ini juga mempunyai bakat menyanyi lagu bahasa Melayu dengan amat baik.

Beliau akan menyampaikan pidato bertajuk 'Uniknya Perayaan di Malaysia.' Dari pemerhatian, isi pidato beliau yang dipersembahkan sebelum ini menunjukkan Chen Nan membuat kajian yang mendalam mengenai budaya rakyat di Malaysia.

Pastinya tujuh juri yang dilantik pada pertandingan akhir malam ini mempunyai tugas yang berat untuk memilih yang terbaik dari kalangan yang terbagus.

Namun buat penonton terutama rakyat Malaysia pidato malam ini merupakan kesempatan terbaik bagi untuk membuat perbandingan dan menilai semula tahap penguasaan bahasa Melayu mereka. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment