My Add

Monday 21 April 2014

SPRM didesak siasat ketelusan tender, projek Kerajaan DAP Pulau Pinang

PULAU PINANG, AHAD, 20 April, 2014: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat segera pelaksanaan projek-projek yang telah atau sedang dilaksana oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat mencurigakan.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, antara projek itu ialah pelaksanaan sistem letak kenderaan berkupon yang mula dikuatkuasakan awal tahun ini.

Menurutnya, pelaksanaan sistem itu pernah ditolak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 2009 dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengetahui sama ada berlaku ketirisan dalam pelaksanaannya ketika ini.

"Kita tidak mempertikai syarikat yang telah dilantik dalam pelaksanaan sistem ini, tetapi mahu tahu bagaimana pemilihan tender dibuat dan apakah kerajaan negeri telah menyelidik keupayaan syarikat yang dipilih," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rahmad menambah, pelaksanaan sistem berkenaan juga seolah-olah merompak duit rakyat dan kerajaan negeri harus menjelaskan mengapa sistem terbabit tetap dilaksana biarpun selepas ini sistem letak kenderaan elektronik akan diperkenal.

Sekiranya benar kerajaan negeri mengamalkan konsep Cekap, Telus dan Akauntabiliti (CAT) seperti yang dilaung-laungkan katanya, perjanjian dan terma-terma dalam pelaksanaan sistem kupon itu harus didedahkan kepada rakyat.

"Kita mahu tahu apa yang terkandung dalam perjanjian berkenaan kerana bagi KMPP sistem letak kenderaan bermeter dan resit yang diamalkan sebelum ini sepatutnya terus diguna pakai sehingga pelaksanaan sistem elektronik," katanya.

Selain itu, beliau juga mendesak SPRM menyiasat isu pencerobohan Bukit Relau dekat sini yang kini gondol bagi memastikan tiada sebarang unsur rasuah manakala dalang sebenar dapat didedahkan.

"Kita mahu tahu sama ada wujud pihak-pihak berkepentingan terlibat dalam isu ini memandangkan tidak mungkin syarikat yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah atas kerja-kerja pencerobohan di atas bukit terbabit begitu berani sekiranya tidak mempunyai sebarang imuniti.

"Pihak berkuasa seperti Jabatan Kejuruteraan MPPP seolah-olah menutup mata sedangkan masalah ini telah lama berlarutan dan kesan pencerobohan atas bukit berkenaan jelas dapat dilihat dari jauh sehingga di Butterworth," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Datuk Ramesh Rao Krishna Naidu berkata, pihaknya mempunyai dokumen-dokumen berkaitan bagi menyokong gesaan yang dibuat terhadap SPRM.

Katanya, kerjasama akan diberi sekiranya diperlukan SPRM dan pihaknya akan mendedahkan lebih banyak projek yang diragui selepas ini.

"Kalau tiada sebarang dokumen kita tidak akan sewenang-wenangnya bercakap memandangkan tahu perangai DAP yang suka menyaman.

"Kita juga berharap kerajaan negeri terutama Ketua Menteri, Lim Guan Eng sudi memberi kerjasama sekiranya siasatan dijalankan terhadap dua isu ini bagi menentukan sama ada benar atau tidak wujud unsur salah guna kuasa dan rasuah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment