1,922 salah laku siber direkod Januari-Mac tahun ini
KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Mei, 2014: Sebanyak 1,922 kes salah laku siber dilaporkan oleh pengguna internet melalui Pusat Bantuan Cyber999, CyberSecurity Malaysia, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, daripada jumlah itu penipuan siber merupakan salah laku tertinggi yang direkodkan iaitu 794 kes.
"Ia diikuti perisian berbahaya atau malware 430 kes; pencerobohan sistem dalam talian serta pencacatan laman web 401 kes; gangguan siber 143 kes; dan lain-lain 154 kes," katanya dalam ucapan pada majlis Pelancaran Kuiz Celik Cybersafe - Asuh di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) MOSTI, Dr. Zulkifli Mohamed Hashim.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr. Amirudin Abdul Wahab dan Pengarah Urusan Galeri Ilmu Sdn. Bhd Abu., Hassan Morad.
Abu Bakar berkata, manakala pada tahun lalu 10,636 kes salah laku siber dilaporkan oleh pengguna internet. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment