My Add

Sunday, 4 May 2014

Kesahihan syiling lama diketahui Selasa ini

MELAKA, SABTU, 03 Mei, 2014: Keputusan analisis dua artifak syiling lama yang ditemui ketika kerja-kerja pencarian harta karun di Pulau Nangka, malam Rabu lalu dijangka diketahui selewat-lewatnya Selasa ini.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas berkata, kedua-dua artifak tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Muzium Negara untuk dianalisis secara terperinci.

"Kemungkinan besar keputusan analisis akan diketahui Isnin atau Selasa ini dan kita akan maklumkan keputusan itu nanti.

"Buat masa ini kedua-dua artifak itu masih diteliti tentang kesahihan dari segi kandungan dan campuran logamnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dua keping syiling lama itu ditemui oleh pekerja Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd. sewaktu menggerudi tembok dinding batu malam Rabu lalu iaitu 45 minit sebelum tamat tempoh kerja-­kerja pencarian oleh syarikat itu di situ.

Artifak pertama ditemui kira-kira pukul 11.15 malam sebelum disusuli penemuan kedua 15 minit selepas itu.

Dua objek tersebut dipercayai diperbuat daripada campuran emas dan tembaga dari zaman Kesul­tanan Melayu Melaka.

Walau bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron meragui penemuan dua artifak itu dan mengatakan sama ada syiling lama itu tercicir atau sengaja dicicirkan di kawasan itu.

Berikutan perkembangan itu kata Khamis, pihaknya telah meminta Jabatan Muzium Negara untuk meneliti kesahihan syiling tersebut.

"Saya juga tidak pasti, namun Perzim yakin kesahihan artifak itu akan dapat diketahui dalam masa terdekat ini termasuk hasil kajian sama ada benar-benar ditemui di kawasan tersebut atau tidak," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment