Laporan penculikan di perairan Semporna tidak benar
KOTA KINABALU, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Laporan media berhubung kes sekumpulan penculik dari Selatan Filipina yang cuba memasuki negara melalui perairan Semporna baru-baru ini, bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan pelancong yang ingin berkunjung ke kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Sebaliknya, Ketua Pengarah Kawasan Kesalamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mentek berkata, ia bagi mengingatkan semua pihak termasuk Esscom dan pengusaha resort untuk berjaga-jaga kerana ancaman jenayah penculikan masih wujud.
Mohammad berkata, kegagalan kumpulan penculik itu, satu kejayaan bagi Esscom yang meningkatkan kawalan di semua pulau peranginan atau resort di Semporna susulan insiden penculikan di Singamata Adventure Reef Resort yang terletak tidak jauh dari pekan Semporna, pada 2 April lepas.
Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah dua kali membuat kenyataan iaitu pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini mengenai kejayaan pasukan keselamatan mematahkan cubaan kumpulan penculik memasuki perairan Semporna untuk melakukan jenayah.
``Kita tidak mahu ada pihak yang leka dalam hal ini dan kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Esscom juga telah mengadakan pertemuan dengan pengusaha resort sebanyak tiga kali selepas insiden penculikan di Pom Pom, Semporna pada November tahun lepas.
``Kita telah sedaya upaya mengingatkan pengusaha resort untuk meningkatkan tahap keselamatan di premis mereka termasuk tidak menggaji pekerja asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengambil pengawal keselamatan persendirian, namun ramai tidak mematuhinya sehinggalah berlaku kes penculikan terbaharu di Singamata Resort.
``Sekali lagi kita adakan pertemuan dengan mereka selepas insiden Singamata Resort,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohammad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Ming yang menggesa Esscom tidak melaporkan cubaan penculik dari selatan Filipina memasuki negara ini melalui perairan Semporna kerana Esscom tidak membuat penangkapan dan tiada bukti kumpulan tersebut adalah penculik. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment