My Add

Saturday, 3 May 2014

Panel bebas tentukan kewajaran tindakan
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Panel Penyiasat Bebas Antarabangsa akan menentukan punca sebenar kelewatan selama empat jam untuk mengaktifkan sistem menyelamat pesawat MH370 selepas hilang dari radar pada 1.21 pagi 8 Mac lepas.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, panel bebas itu dianggotai pakar penerbangan dari seluruh dunia yang diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Kok Soo Chon.

Menurutnya, penanda aras untuk menentukan tindakan dalam sesuatu kejadian adalah berbeza mengikut situasi, umpamanya tragedi pesawat AirFrance pada 2009 yang mengambil masa antara enam hingga tujuh jam sebelum tindakan.

“Biarlah panel bebas dianggotai pakar antarabangsa mengkaji dan menentukan tindakan kita ini.

“Kita tidak boleh tentukan tindakan ini adalah lewat. Ini banyak bergantung kepada siasatan susulan yang dibuat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Rahim Bakri; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya.

Kementerian Pengangkutan semalam mengumumkan laporan awal berhubung insiden kehilangan pesawat MH370 yang berakhir di Lautan Hindi pada 8 Mac lalu.

Laporan yang disediakan panel pakar itu mengandungi maklumat rakaman audio perbualan antara kokpit MH370 dengan pusat kawalan trafik udara Kuala Lumpur.

Laporan awal tersebut antara lain menyatakan tentang apa yang berlaku sebaik sahaja pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam, 8 Mac lalu sehingga komunikasi terakhir dengan Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) pada pukul 1.07 pagi hari yang sama.

Menurut Hishammuddin, pihaknya konsisten dengan pendirian bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan dalam laporan awal berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment