My Add

Saturday, 3 May 2014

Penghuni PPR bantah kenaikan sewa

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA, JUMAAT, 02 Mei, 2014: Kira-kira 500 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara berkumpul di hadapan kawasan perumahan tersebut hari ini bagi membantah tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menaikkan kadar sewa rumah daripada RM124 kepada RM250 sebulan, berkuat kuasa Mei tahun lalu.

Penduduk mendakwa sudah tidak tahan dengan kerajaan Selangor yang langsung tidak prihatin dan mengabaikan kebajikan rakyat.

Lebih parah, penduduk yang mempunyai tunggakan sewa turut menerima notis sita, selain bekalan air dipotong.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seksyen 8 Kota Damansara, Johari Nander berkata, kadar tersebut didakwa terlalu tinggi dan membebankan lebih 3,000 penghuni yang rata-rata berpendapatan rendah, selain kebanyakannya adalah golongan ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Jelasnya, pihaknya menghantar memorandum kepada pihak kerajaan negeri sejak tahun 2010, selain tiga pucuk surat bantahan selepas kadar sewa itu dinaikkan, namun tiada tindakan susulan diambil untuk menurunkan harga sewa perumahan tersebut.

“Sejak kenaikan itu dikuatkuasakan pada Mei tahun lalu, penghuni terpaksa menanggung beban lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup semakin meningkat hari ini. Kebanyakan daripada mereka merupakan golongan 'miskin bandar' yang berpendapatan RM1,500 ke bawah.

“Walaupun menghantar tiga pucuk surat bantahan kenaikan tersebut tetapi hanya sepucuk surat dibalas. Respon yang diberikan oleh mereka (pihak kerajaan negeri) tidak memihak kepada kami," katanya ketika ditemui selepas mengetuai bantahan aman di hadapan PPR berkenaan di sini.

Seorang penduduk, Hasimah Wahab, 51, berkata, dia terpaksa menanggung beban tersebut dan tidak mampu untuk membayar kadar sewa itu yang terlalu tinggi.

“Bayangkan saya yang berniaga nasi lemak nak dapat RM100 sehari pun susah. Sehari saya hanya boleh dapat RM20, bagaimana nak membayar sewa itu. Memang betul anak-anak semua sudah bekerja tetapi mereka juga mempunyai tanggungan keluarga masing-masing," katanya.

SEBAHAGIAN penduduk membantah kenaikan harga sewa rumah mereka di PPR Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment