My Add

Monday, 26 May 2014

Piala Thomas: PM tetap bangga

KUALA LUMPUR, AHAD 25 Mei, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga dengan pasukan badminton negara yang berjaya menyatukan rakyat Malaysia meskipun gagal menamatkan penantian 22 tahun negara untuk menjulang Piala Thomas.

“Kita tetap bersatu dalam kemenangan mahupun kekalahan. Saya bangga dengan pasukan Pia­la Thomas negara. Kita cuba lagi dan tahniah kepada Jepun," kata Perdana Menteri dalam catatan di laman Twitter hari ini.

Malaysia tewas 2-3 kepada pasukan Jepun pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2014 di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi, India, malam ini.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika dihubungi penyampai berita sukan TV1 RTM Jasni Shafie, menyifatkan nasib tidak menye­belahi pasukan Malaysia walaupun mereka bermain bersungguh-sungguh untuk memenangi piala berkenaan.

Rosmah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, beliau berasa bangga kerana pemain Malaysia bermain bermati-matian terutama pemain perseorangan terakhir Daren Liew.

“Apapun kita tak putus asa. Saya rasa rakyat Malaysia setuju de­ngan saya. Mereka telah bermain dengan baik dan bersungguh-sungguh. Kita tunggu empat tahun lagi dan cuba dapatkan Piala Thomas untuk Malaysia, insya-Allah,’’ katanya.

Ditanya sama ada Perdana Menteri turut menonton siaran langsung perlawanan itu bersama beliau, Rosmah berkata, mereka sekeluarga sempat menonton pu­singan awal perlawanan akhir ber­kenaan sebelum Najib perlu menghadiri satu acara di luar.

“Saya patut iringi beliau... saya sudah sikat rambut dan pakai baju tapi bila tengok ada peluang (untuk menang), saya tunggu lagi.

“Akhir sekali Datuk (Najib) telefon cakap tak payah pergi sebab dia pun dah nak balik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenya­taan turut merakam ucapan tahniah kepada pasukan Malaysia kerana menunjukkan semangat yang juang tinggi.

“Saya berbangga dan saya pasti seluruh rakyat Malaysia juga turut berasa bangga de­ngan semangat juang tinggi yang telah ditunjukkan pasukan Malaysia pada malam ini. Mereka telah bertarung habis-habisan walaupun tidak dapat merangkul Piala Thomas," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi semangat dan sokongan jitu kepada pasukan negara.

“InsyaAllah, dengan usaha dan sokongan berterusan, saya percaya kejayaan akan menanti kita dan harapan untuk membawa kembali Piala Thomas akan menjadi satu kenyataan tidak lama lagi," katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia.

“Walaupun tak berjaya bawa pulang Piala Thomas 2014 tapi kami tetap berbangga. Omedetou Nippon!," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment