Ubah peraturan pembantu rumah
KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Mei, 2014: Agensi pembantu rumah dalam negara, agensi penyedia pembantu rumah dan majikan merupakan pihak yang perlu bertanggungjawab sekiranya pembantu rumah lari, bukannya hanya majikan terpaksa menanggung beban jika perkara itu berlaku.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, sehubungan itu, satu siasatan perlu dilakukan terdahulu sebelum mengenakan denda terhadap majikan untuk mengatasi isu amah lari supaya lebih adil.
"Jika hasil siasatan mendapati pembantu rumah lari berpunca daripada agensi, maka amat tidak adil untuk majikan membayar denda sebanyak RM250. Inilah yang berlaku sejak dahulu sehingga hari ini.
"Saya meminta kerajaan untuk melihat semula undang-undang berkaitan pembantu rumah. Jika ada perkara yang patut diubah, ubahlah. Kenapa kita mahu salahkan orang yang tidak bersalah dan mereka yang benar-benar bersalah dibiarkan begitu sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan beberapa pihak yang mahu kerajaan mengkaji semula proses pengambilan pembantu rumah termasuk denda yang dikenakan terhadap majikan sekiranya pembantu rumah melarikan diri.
Desakan itu ekoran laporan khas Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa sebanyak 105,119 pembantu rumah asing melarikan diri dari 2008 hingga 2013, melibatkan kos RM1 bilion.
Jacob berkata, mengambil contoh negara luar seperti Singapura dan Amerika Syarikat (AS), mereka mengamalkan undang-undang yang adil untuk mengenakan sebarang tindakan terhadap pesalah dalam isu `amah' melarikan diri.
"Contohnya, sewaktu proses awal pengambilan pembantu rumah, majikan dan agensi telah menandatangani perjanjian untuk patuh peraturan dengan mengambil tanggungjawab sepenuhnya jika pembantu rumah lari. Majikan hanya didenda jika benar-benar bersalah.
"Kenapa kita tidak boleh mengamalkan prinsip seperti itu. Apa yang kita amalkan sekarang adalah `berat sebelah'. Tindakan hanya dikenakan ke atas pihak negara ini sahaja, tetapi agensi yang menyediakan pembantu rumah terlepas begitu sahaja, malah bersenang hati dengan keuntungan yang didapati," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment