My Add

Thursday 8 December 2011

1.3 juta rakyat Kelantan layak terima bantuan RM500

PENGKALAN CHEP, KHAMIS, 08 Disember, 2011: 
KIRA-KIRA 1.3 juta rakyat negeri ini layak menerima bantuan sebanyak RM500 menerusi program Bantuan Rakyat 1Malaysia yang disalurkan Kerajaan Pusat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bantuan tersebut akan diagihkan pada pertengahan Januari ini manakala tempoh pendaftaran akan bermula pada 10 Disember hingga 15 Januari depan.

"Bantuan ini akan diagih-agihkan kepada setiap rakyat yang layak dengan pendapatan bulanannya di bawah RM3,000 seisi keluarga.

"Rakyat boleh membuat pendaftaran sebaik sahaja tempoh itu bermula, kemudian dapatkan pengesahan daripada pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung dan Penduduk (JKKP)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Penerangan Bantuan Khas Kerajaan Persekutuan, di sini semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kerajaan telah banyak berkompromi dalam melaksanakan program tersebut demi kesejahteraan rakyat tanpa membezakan ideologi parti.

"Ini bukan instrumen UMNO, ini program Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat Malaysia. Sebab itu mereka perlu daftar bagi menentukan kelayakan dan mereka yang layak secara automatik berhak menerima bantuan itu.

"Kalau kita tengok 1.3 juta anggaran rakyat negeri ini layak menerima bantuan tersebut, iaitu kira-kira 85 peratus, maka dari segi fizikal jika itu program UMNO maknanya kita (UMNO) sudah menang di sini," katanya.

Beliau berkata, bantuan membabitkan peruntukan sebanyak RM2.6 juta untuk seluruh rakyat Malaysia ini merupakan satu program terbesar Kerajaan Pusat dalam membantu rakyat.

Pada pembentangan Bajet 2012, kerajaan mengumumkan untuk memberi bantuan tersebut sebagai tanda prihatin dalam meringankan kos sara hidup rakyat di negara ini yang semakin meningkat. - UM

No comments:

Post a Comment