My Add

Monday 12 December 2011

200 koperasi kredit beri komitmen sertai Kopsya

KUCHING, ISNIN, 12 Disember, 2011:
SEBANYAK 200 koperasi kredit membabitkan dana terkumpul berjumlah RM360 juta menyatakan komitmen untuk menyertai Koperasi Pembiayaan Syariah (Kopsya) yang akan memulakan operasinya pada bulan depan.

Timbalan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, untuk meningkatkan jumlah keahlian Kopsya, pihaknya juga akan membuka keahlian kepada 2,200 koperasi sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

"Promosi mengenainya juga akan dibuat secara agresif bagi menarik penyertaan 8,900 koperasi yang bernaung di bawah Angkasa.

"Promosi kita sebelum ini bertumpu kepada koperasi kredit memandangkan mereka perlu mendapatkan dana daripada bank kerana dana sendiri tidak banyak. Apabila dana tidak banyak bagaimana mereka mahu membantu ahli, jadi kali ini Kopsya akan bantu mereka," katanya.

Abdul Fattah berkata demikian ketika ditemui selepas menutup Seminar Integriti Dalam Koperasi Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun Kopsya menawarkan kemudahan pembiayaan dengan kadar faedah yang kompetitif, penubuhannya bukan untuk menyaingi institusi perbankan.

Katanya, tidak seperti bank, Kopsya tidak berurusan dengan individu sebaliknya menyalurkan dana kepada koperasi-koperasi untuk pembiayaan ahli-ahlinya.

"Jadi mana-mana individu yang mahukan pembiayaan perlu menjadi ahli koperasi terlebih dahulu dan dengan cara ini kita dapat perkasakan koperasi yang kecil. Ia juga untuk membantu hasrat kerajaan yang mahu melihat lebih ramai rakyat menjadi ahli koperasi," katanya.

Mengenai seminar itu, Abdul Fattah berkata, penganjuran di negeri ini adalah yang ketiga selepas Kuala Lumpur dan Kelantan.

Katanya, ia bertujuan memberi pendedahan kepada ahli lembaga koperasi mengenai integriti dan ketelusan memandangkan koperasi hari ini ditakrifkan sebagai badan awam.

"Ini bukan bermakna koperasi di negara ini berdepan dengan masalah integriti. Kalau ada kes (penyelewengan) jumlahnya adalah kecil, hendak cari 30 kes pun susah," katanya sambil menjelaskan seminar berkenaan disokong oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - UM

No comments:

Post a Comment