My Add

Monday 12 December 2011

Masalah ekonomi AS, Eropah tidak jejas Iskandar Malaysia

NUSAJAYA, ISNIN, 12 Disember, 2011:
DATUK Seri Najib Tun Razak optimis dengan kemampuan Iskandar Malaysia mencapai sasaran yang ditetapkan walaupun keadaan ekonomi dunia dijangka merosot berikutan masalah yang melanda Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Perdana Menteri berkata, ini kerana segala projek di wilayah pembangunan itu masih dalam peringkat pelaksanaan dan akan siap sepenuhnya dalam tempoh beberapa tahun lagi.

"Kita boleh menjamin kadar pertumbuhan (ekonomi) munasabah yang mana mereka (pelabur) akan meneruskan komitmen dan pelaburan.

"Saya fikir paras pelaburan komited akan berterusan tetapi ketiadaan pelaburan baru tidak dapat dielakkan jika kemelesetan ekonomi teruk sehingga kita terjejas," katanya pada sidang akhbar selepas majlis sambutan ulang tahun kelima Iskandar Malaysia di Puteri Harbour di sini, semalam.

Najib turut menyatakan keyakinan pelaburan besar akan berterusan dengan mengambil contoh komitmen Kumpulan Genting melalui anak syarikatnya, Genting Simon yang melabur RM1 bilion untuk fasa kedua pembangunan Johor Premium Outlets yang terletak di Kulaijaya.

Beliau turut menyifatkan Iskandar Malaysia sebagai wilayah pembangunan paling terkehadapan dari segi keberhasilan dan keberkesanan pencapaiannya atas beberapa faktor seperti permintaan yang tinggi selain hampir dengan Singapura.

"Kawasan ini lebih fokus dan ada sinergi serta saling melengkapi antara Iskandar Malaysia dan Singapura," katanya.

Tambah beliau, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) juga akan terus menerima peruntukan untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur kawasan itu secara berterusan mengikut keperluan. - UM

No comments:

Post a Comment