My Add

Thursday 15 December 2011

31 kenderaan disita, 82 saman dalam "Ops Pengarah"

KUALA LUMPUR, KHAMIS. 15 Disember, 2011: 
SEBANYAK 31 kenderaan termasuk 25 buah motosikal disita manakala 82 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam 'Ops Pengarah' di dua lokasi, semalam. 

Operasi pertama dijalankan di Plaza Tol Sungai Besi bermula 4.30 petang hingga 6 petang manakala operasi kedua di Plaza Tol Jalan Duta hala Kuala Lumpur pada 9.30 malam sebelum berakhir kira-kira tiga jam kemudian.

JPJ turut mengeluarkan 25 notis larangan penggunaan kenderaan dan notis arah periksa kepada pengguna kenderaan, manakala polis mengeluarkan 22 saman terhadap pengguna motosikal.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad, berkata 37 pengguna kenderaan menjalani saringan urin dan dua daripada mereka ditahan kerana disahkan positif dadah. 

"Sebanyak 660 kenderaan diperiksa manakala 31 kenderaan disita membabitkan kereta, sebuah lori kecil dan motosikal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Plaza Tol Jalan Duta, malam tadi. 

Ismail berkata, pengguna kenderaan yang disaman, diserahkan notis atau kenderaannya disita kebanyakannya kerana kesalahan tiada atau tamat tempoh cukai jalan, tiada lesen memandu dan pengubahsuaian kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. 

Operasi itu disertai 265 pegawai dan anggota termasuk 230 daripada JPJ Kuala Lumpur dan selebihnya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment