KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 Disember, 2011: KESEMUA 15 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang ditahan kerana mengadakan piket membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 di KL Sentral petang semalam dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata kesemua pelajar dibebaskan kira-kira jam 10 malam tadi selepas polis selesai mengambil keterangan mereka.
"Polis berpuas hati dengan maklumat dan kerjasama yang mereka berikan," katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Pelajar yang ditahan adalah ahli Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) di mana polis terpaksa menahan mereka selepas tidak mengendahkan amaran supaya bersurai.
Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Travers untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.
Mereka yang berumur antara 20 dan 22 tahun itu adalah dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Selangor, dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment