My Add

Tuesday 20 December 2011

51,000 hektar ditanam semula

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
PASIR MAS, SELASA, 20 Disember, 2011: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bersiap sedia sepenuhnya untuk menanam semula getah di kawasan seluas 51,000 hektar di seluruh negara pada tahun depan.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, ia merupakan cabaran besar kepada agensi tersebut kerana keluasan kawasan tanaman semula tersebut meningkat dua kali ganda berbanding tahun- tahun sebelumnya.

Beliau berkata, seramai 1,000 pegawai luar dan 600 penggerak masyarakat di negeri-negeri akan digerakkan sepenuhnya bagi memastikan program tersebut dilaksanakan dengan sistematik dan berjaya.

"RISDA telah merancang beberapa kempen untuk meningkatkan produktiviti seperti amalan pertanian baik dan membaja sebagai insentif kepada golongan pekebun kecil.

"Cabaran tahun depan untuk tanam semula adalah cukup besar kerana ia meningkat dua kali ganda lebih dari masa dulu sebab itu kena rancang sesuatu untuk persediaan minda pekebun kecil," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kempen Amalan Pertanian Baik dan Penyampaian Sumbangan Pengerusi RISDA kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Pasir Mas, Datuk Hanapi Mamat; Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) RISDA, Ahmad Sufi Alias.

Rahim berkata, RISDA juga akan memajukan tanah di Sabah dan Sarawak serta Kemboja bagi menjana lebih banyak pendapatan.

"Perancangan kita adalah untuk meningkatkan kesedaran dengan eksplorasi di Sabah dan Sarawak dengan melabur dalam tanaman semula getah.

"Ini peranan penting yang dimainkan oleh RISDA agar hasrat kerajaan dan Perdana Menteri tercapai selepas mereka memberikan kepercayaan dengan peruntukkan yang besar dalam program tanaman semula," katanya.

Tambahnya, agensi tersebut juga sedang memperhebatkan penyelidikan tisu kultur untuk menghasilkan klon getah yang terbaik. - UM

No comments:

Post a Comment