My Add

Tuesday 20 December 2011

Anwar patut sahut cabaran Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Disember, 2011: Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menyahut cabaran Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bersumpah jika mahu membuktikan dirinya berada di pihak yang benar.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, Ketua Pembangkang itu tidak seharusnya memberi pelbagai alasan kerana ia hanya membuktikan Anwar membuat dakwaan tidak benar dan berasas.

"Kalau apa yang didakwa Anwar adalah benar dan mengikut fahaman saya, sebagai seorang muslim yang sejati, kalau bersumpah bermakna ia suatu perkara yang serius, maka bersumpahlah.

"Apa yang dia nak takut. Dia seharusnya menerima cabaran daripada Dr. Mahathir. Kalau dia benar, sumpahlah.

"(Tetapi) saya dapati dia tak berani dan (kalau tak berani) maka dia tidak benar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keengganan Anwar bersumpah selepas dicabar oleh Dr. Mahathir kelmarin.

Soi Lek turut membidas perbuatan Anwar yang sengaja mempolitikkan semua perkara sehingga menjejaskan maruah negara.

"Jangan segala isu dipolitikkan. Ini berkaitan dengan maruah negara. Apakah benar kita mohon bantuan? Setakat ini yang kita tahu, Malaysia tak pernah pohon.

"Ini bukan soal politik, ini maruah negara dan saya berpendapat isu ini jelas hanya bersifat peribadi," katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, keengganan Anwar untuk bersumpah jelas membuktikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berada di pihak yang salah.

Ini kerana kata beliau, setiap kali diminta untuk melakukan sumpah bagi membuktikan kebenaran, Anwar akan memberi pelbagai alasan supaya tidak melakukannya.

"Kita bersumpah atas nama Allah untuk mencari kebenaran dan terbukti sekali lagi, apabila dicabar dengan cabaran paling kuat (bersumpah), dia takkan buat. Sebab dia tahu apa yang dia dakwa tidak benar.

"Dalam kes liwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, dia tidak berani bersumpah dan terbaru, dengan cabaran Dr. Mahathir," katanya.

Justeru Khairy menegaskan bahawa rakyat terutama orang Melayu dan beragama Islam perlu menilai siapa Anwar sebenar melalui sikapnya itu.

"Kenapa selepas lebih 10 tahun berlaku baru dia nak cakap sekarang? Kenapa kalau sudah tahu lebih 10 tahun dulu, dia tak bersihkan namanya sebagai seorang yang bukan ejen Bank Dunia?

"Nampak sangat apabila pilihan raya umum nak dekat, dia nak bersihkan dosanya dan lempar najis kepada orang lain," tambahnya. - UM

No comments:

Post a Comment