My Add

Sunday 4 December 2011

653 pesawah mula terima insentif tingkat hasil

TANJONG KARANG, AHAD, 04 Disember, 2011:
SERAMAI 653 pesawah di Tanjong Karang hari ini mula menerima Insentif Peningkatan Hasil (IPH) Padi berjumlah hampir RM1 juta seperti yang diumumkan kerajaan bulan lalu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. 

Beliau berkata, IPH Padi sebanyak RM980,482 yang diberikan kepada pesawah di sini adalah sebahagian daripada IPH Padi bernilai RM110 juta yang akan diagihkan kepada 73,291 pesawah di seluruh negara.

"IPH Padi ini diberikan kepada pesawah yang berjaya meningkatkan hasil padi mereka sejak 2007 yang mana setiap peningkatan hasil padi melebihi satu tan metrik melayakkan pesawah menerima insentif RM650.

"Contohnya sekiranya pada musim lalu pesawah berjaya mengeluarkan enam tan hasil padi, manakala pada musim ini pengeluaran hasil padi bertambah kepada sembilan tan, pesawah akan mendapat insentif bagi tambahan tiga tan hasil, dengan nilai RM650 setiap tan," katanya dalam satu sidang media selepas menyampaikan bantuan itu di Kilang Beras BERNAS Seri Tiram Jaya di sini. 

Noh berkata, bagi pengeluaran hasil padi melebihi 10 tan pula, pesawah layak menerima insentif berkenaan beserta bonus bernilai RM650 tiap satu hektar kawasan padi. 

Beliau berkata, sebelum ini pembayaran tidak boleh dilakukan kerana peruntukan untuk pembayaran insentif itu tidak mencukupi kerana jumlah pesawah yang berjaya menambah peningkatan hasil padi melebihi jangkaan. 

Sementara itu, Noh berkata RM922,401 bantuan ihsan diberikan kepada 982 pesawah yang terbabit dalam bencana banjir di beberapa kawasan di Sungai Besar, Sabak Bernam pada Oktober lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian itu kira-kira 1,053 hektar kawasan sawah di Panchang Bedena 1, Panchang Bedena 2, Panchang Bedena 3, Panchang Bedena 4, Bagan Terap 1, Bagan Terap 2 dan Bagan Terap 3 terjejas teruk akibat bencana itu. 

"Kami juga sedang giat menaik taraf pelbagai insfrastruktur termasuk beberapa terusan, membina kolam tangkungan dan menyelenggara parit bagi mengalirkan air dari sawah, bagi mengelak kejadian serupa berulang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment