My Add

Monday 19 December 2011

7,079 guru STT ditawarkan ikuti kursus perguruan

PUTRAJAYA, ISNIN, 19 Dsmber, 2011: Seramai 7,079 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan ditawarkan mengikuti latihan dan kursus perguruan mulai Januari depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong. 

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 4,433 GSTT akan mengikuti latihan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Februari, manakala selebihnya di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), bermula 9 Januari.

Beliau berkata, adalah antara 13,184 GSTT yang sudah berkhidmat sejak Jun tahun lalu dan diberikan keutamaan kerana memenuhi syarat, antaranya sudah berkhidmat sebagai GSST lebih dua tahun serta berusia tidak lebih 35 tahun pada 31 Disember 2010.

"Kementerian Pelajaran memang memandang serius apa jua pandangan dan keluhan berhubung GSTT. Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang juga Menteri Pelajaran turut begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh GSTT. 

"Ini (pengumuman hari ini) menunjukkan komitmen dan janji Timbalan Perdana Menteri kepada 13,184 GSTT yang berkhidmat dalam Kementerian Pelajaran dan dikotakan oleh beliau sendiri," katanya kepada pemberita selepas 
mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Guru Sandaran di sini hari ini. 

Daripada 13,184 GSTT, Wee berkata seramai 1,799 pula sedang mengikuti kursus dan latihan perguruan mod Kursus Dalam cuti (KDC) manakala 2,788 GSST pula tidak mengemukakan dokumen yang lengkap untuk dipertimbangkan bagi mengikuti kursus perguruan dan mereka diberi tempoh sehingga Isnin depan untuk membuat rayuan.

"Mereka diberi tempoh sehingga 26 Disember untuk kemukakan dokumen asal dan kami akan terima mereka secara berperingkat," katanya. 

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,928 GSTT pula tidak layak untuk mengikuti kursus perguruan kerana melebihi had umur serta tempoh berkhidmat kurang daripada dua tahun secara berturut-turut. 

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kumpulan itu komited terhadap sistem pendidikan negara, maka kementerian menawarkan mereka meneruskan perkhidmatan secara "contract of service". 

"Contract of service ini tidak dibuat untuk jangka panjang...secara berperingkat dan boleh diperbaharui mengikut keperluan pada ketika itu," katanya. 

Wee turut memberi jaminan bahawa mereka yang berkhidmat secara "contract of service", pendapatan dan kebajikan mereka akan tetap sama seperti ketika menjadi GSTT. 

Wee berkata, Timbalan Perdana Menteri juga membuat keputusan bahawa semua GSST berkenaan tidak perlu membayar balik gaji yang diterima mereka sejak Oktober lalu. 

"Dengan pengumuman hari ini, isu ini dianggap sudah diselesaikan secara komprehensif dan jangan ada yang bangkitkannya lagi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment