My Add

Saturday 24 December 2011

Adam terima surat perintah hadir bicara universiti

ADAM Adli (bertopi) menunjukkan surat perintah menghadirkan diri untuk perbicaraan tatatertib isu menurunkan bendera Perdana Menteri oleh pihak tatatertib UPSI selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, semalam.

KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Disember, 2011: Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli semalam menerima surat perintah untuk dibicarakan oleh universiti itu, ketika dia diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.
Adam, 22, berada di balai polis berkenaan sejak pukul 11.30 pagi ini bagi memberi keterangan berhubung beberapa siri ugutan yang diterimanya setelah menurun dan menggantikan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu demonstrasi baru-baru ini.

Difahamkan, dua kakitangan UPSI hadir sendiri di IPD berkenaan untuk menyerahkan surat perintah satu muka surat itu yang mengarahkan Adam hadir di perbicaraan mahkamah tatatertib berkenaan pada 9 Januari depan.

Utusan Malaysia difahamkan, terdapat dua perkara yang ditulis dalam surat perintah berkenaan iaitu tuduhan mencemarkan nama UPSI serta menurunkan harta hak milik (bendera) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember lalu.

Jika disabitkan bersalah, hukuman maksimum yang boleh dikenakan terhadap penuntut itu adalah dibuang daripada universiti berkenaan.

Adam ketika ditemui selepas diambil keterangan mengaku menerima surat perintah berkenaan hari ini namun dia tidak memberitahu, sama ada akan hadir perbicaraan tersebut.

Sabtu lalu, kira-kira 200 ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkumpul dan berarak untuk menggesa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan kerana didakwa menyekat kebebasan akademik.

Sebelum menyerahkan memorandum bantahan itu, beberapa ahli SMM ketika berpiket di PWTC bertindak menurunkan bendera yang mempunyai gambar Perdana Menteri. - UM

No comments:

Post a Comment