My Add

Saturday 24 December 2011

Penghormatan terakhir kepada bekas menteri

Allahyarham ulama 
yang banyak berjasa - Najib
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi penghormatan terakhir kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, di kediamannya Taman Tenaga, Puchong di Kuala Lumpur malam tadi. Allahyarham, 72, meninggal dunia dipercayai akibat serangan angin ahmar. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Disember, 2011: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Allahyarham Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman sebagai seorang ulama yang banyak berjasa terutamanya dalam usaha menyebarkan syiar Islam di negara ini.

Menurut beliau, bekas Penasihat Agama kepada Perdana Menteri tersebut merupakan tokoh yang bertanggungjawab terhadap pengukuhan pentadbiran Islam dan memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Kata Najib, peranan itu telah dimainkan secara aktif oleh Allahyarham sama ada sewaktu di dalam kerajaan mahupun di atas platform UMNO.

"Saya amat mengenali beliau secara peribadi dan beliau adalah individu yang amat baik hati, sentiasa berusaha membangunkan masyarakat Islam," katanya kepada pemberita selepas melawat jenazah Allahyarham di kediamannya di Puchong, dekat sini malam tadi.

Turut kelihatan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Terdahulu, Najib yang ditemani anaknya, Nor Ashman Razak, tiba di kediaman Allahyarham kira-kira pukul 9.05 malam.

Sementara itu, Abdullah berkata, kali terakhir beliau bertemu Abdul Hamid adalah ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Katanya ketika itu, Allahyarham mengakui masih aktif dalam politik serta kerja-kerja keagamaan.

"Beliau banyak memberi nasihat tentang perkara-perkara berkaitan agama sepanjang mengenalinya," kata Abdullah. - UM

No comments:

Post a Comment