My Add

Saturday 24 December 2011

Ambil tindakan pegawai bank bocor maklumat

PASIR PUTEH, SABTU, 24 Disember, 2011: Parti pembangkang dilihat sudah ketandusan modal untuk menarik sokongan rakyat sehingga sanggup memutar belitkan banyak perkara bagi meraih simpati menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan pembangkang itu dapat dilihat apabila cuba memutar-belitkan isu membabitkan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang kononnya menerima sumbangan orang ramai melalui sebuah akaun untuk menganjurkan program sosial.

Mustapa turut mempersoalkan pendedahan akaun yang dikatakan milik Awang Adek itu oleh individu tidak bertanggungjawab, kerana ia jelas bertentangan dengan peraturan yang diamalkan oleh institusi kewangan.

Beliau berkata, sikap tidak amanah pemberi maklumat itu yang mendedahkan akaun seseorang penyimpan, boleh meletakkan negara dalam bahaya apabila rahsia mengenai dana kewangan dan transaksi di bank mudah dibocorkan dan diketahui umum.

"Kalau ada pegawai bank yang mungkin membocorkan rahsia kewangan ini, mereka seharusnya dikenakan tindakan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebanyak RM500,000 kepada Masjid Mukim Pulau Lima di sini, semalam.

Sumbangan bagi membesarkan ruang ibadat masjid berkenaan telah disampaikan kepada Imam Tua Masjid Mukim Pulau Lima, Abdul Ghafar Awang dan ia sebagai menunaikan janji yang dibuat oleh Perdana Menteri sewaktu melakukan lawatan ke masjid berkenaan 2 Julai lalu.

Mengulas lanjut dakwaan tersebut, Mustapa berkata, ia tidak lebih satu provokasi politik untuk menjatuhkan pemimpin UMNO negeri menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima maklum balas daripada Awang Adek yang menyatakan kesediaan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dakwaan itu benar.

"UMNO yakin apa yang dilakukan oleh Awang Adek berlandaskan keikhlasan beliau untuk membantu rakyat secara berterusan.

"Saya yakin Awang Adek tidak pernah bertindak serong dan semua orang mengenali peribadinya. Dia juga mempunyai rekod dan bukti yang kukuh untuk mempertahankan kedudukannya daripada pertuduhan itu," katanya. - UM

No comments:

Post a Comment