My Add

Saturday 24 December 2011

Ahli Pas bertindak sendirian hadapi risiko digugurkan

KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Disember, 2011: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada kesemua ahli parti itu supaya tidak bertindak bersendirian atau menghadapi risiko ‘digugurkan’.

Dengan menyifatkan perlembagaan tertinggi Pas dijamin oleh sekumpulan individu berwibawa, kata beliau, mana-mana ahli parti yang bertindak sendirian pasti akan ‘tersungkur’.

“Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah menggugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam Pas.

“Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam Pas secara individu tanpa peduli terhadap adab berjemaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk ‘Politik Dalam Islam Ada Feqahnya’ di http://presiden.pas.org.my kelmarin.

Teguran keras Abdul Hadi itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang menyelar pihak tertentu dalam parti itu yang cepat melatah apabila menuduh tindakan beliau menyuarakan pandangan berbeza daripada pucuk pimpinan sebagai terperangkap dalam agenda UMNO.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dalam satu program televisyen mendakwa, Pas kini telah tersasar daripada perjuangan Islam asal parti itu.

Mengulas lanjut, kata Abdul Hadi, Pas masih mengutamakan perjuangan politik berdasarkan Islam meskipun kini bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Katanya, perkara itu terbukti dengan peranan Majlis Syura Ulama Pas yang memelihara amalan Islam secara fikah Islam sebenar dan bertanggungjawab melakukan kajian dalam menghadapi cabaran semasa. - UM

No comments:

Post a Comment