My Add

Saturday 24 December 2011

Anwar diingat jangan lupa jasa Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR, SABTU 24 Disember, 2011: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak mempersoalkan kebijaksanaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menguruskan negara sewaktu era pentadbiran beliau.

Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma), Mohd. Fazil Abdullah berkata, kebijaksanaan Dr. Mahathir menyaksikan Malaysia berjaya melalui kemelut krisis kewangan dunia pada 1997 dan tidak jatuh muflis.

"Hari ini, Anwar lupa jasa beliau dan tanya perkara yang bukan-bukan kepada Dr. Mahathir.

"Desmma ingin memberitahu Anwar bahawa kesemua transaksi negara dengan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pasti mempunyai catatan jadi jangan cuba ungkit perkara seperti ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Baru-baru ini, Anwar mendakwa Dr. Mahathir pernah menulis surat kepada IMF bagi memohon pinjaman.

Dr. Mahathir kemudiannya mencabar Anwar supaya bersumpah dengan menjunjung al-Quran bagi membuktikan dakwaan tersebut tetapi pemimpin pembangkang itu enggan berbuat demikian sehingga kini.

Malah, Dr. Mahathir dalam blognya Khamis lalu mendedahkan kesemua permohonan pinjaman yang diluluskan Bank Dunia kepada Malaysia pada 1999 bukan dibuat oleh beliau, sebaliknya Anwar ketika menjadi Menteri Kewangan sebelum itu.

Mohd. Fazil menambah, Dr. Mahathir perlu diberi penghormatan tinggi memandangkan beliau seorang negarawan yang disegani di seluruh dunia.

"Jangan ingat kalau kita merosakkan nama orang kita akan naik. Buatlah perkara baik yang dapat menguntungkan kita semua dan negara amnya," tegas beliau. - UM 

No comments:

Post a Comment