My Add

Saturday 24 December 2011

Jangan nak jadi hero – Zahid Hamidi

Oleh AIN SAFRE BIDIN
BAGAN DATOH, SABTU, 24 Disember, 2011: Kementerian Pengajian Tinggi diingatkan supaya tidak terlalu berlembut dengan tindakan melampau segelintir kumpulan mahasiswa yang sengaja memperalatkan prinsip kebebasan bersuara untuk bersikap biadab terhadap pemimpin negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin di peringkat kementerian tersebut tidak sepatutnya bersikap mahu menjadi hero dalam isu-isu tertentu sehingga mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan mahasiswa.

“Kita harap tiada lagi timbalan menteri yang bersimpati dan kononnya mahu menjaga kebebasan bersuara dengan menyokong pelajar berkenaan atau mana-mana timbalan menteri yang mahu membela kumpulan ini atas dasar mahu membela nasib mahasiswa.

“Kita kena ingat, kerajaanlah yang selama ini membela nasib semua pihak termasuk mahasiswa. Janganlah hendak menjadi hero dalam isu-isu tertentu tetapi akhirnya ia hanya mengeruhkan keadaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan perayaan sempena Krismas kepada penganut agama Kristian di sini semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menggantikan dengan bendera kumpulan tersebut ketika berpiket di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Perbuatan itu dilakukan sebelum kumpulan berkenaan menyerahkan memorandum mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU) kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menolak kemungkinan insiden itu didalangi parti politik yang sengaja memperalatkan mahasiswa untuk bersikap biadab terhadap kepimpinan kerajaan.

“PWTC pula ialah lokasi berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO. Kalau pelajar itu hendak menyertai parti pembangkang sekalipun, kita minta didiklah mereka supaya menghormati orang lain, sama seperti mereka perlu menghormati orang tua,” ujarnya.

Mengulas mengenai pertukaran kerusi antara UMNO dan MIC di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, beliau berkata, perkembangan itu membuktikan semangat setiakawan yang diamalkan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Menurut beliau, walaupun persetujuan dicapai UMNO akan bertanding di kerusi tersebut, MIC akan diberikan kerusi di kawasan lain yang diyakini mampu memberi kemenangan kepada BN di Perak.

“Inilah keunikan BN, bagaimana parti-parti komponen mampu berunding dalam semangat setiakawan dan mempunyai hasrat bersama demi memastikan kemenangan parti,” katanya. - UM

No comments:

Post a Comment