My Add

Wednesday 14 December 2011

Arianespace dipilih lancar satelit MEASAT-3b

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Disember, 2011:
PENGENDALI satelit utama di Asia, MEASAT Global (MEASAT), memilih Arianespace untuk melancarkan satelit MEASAT-3b. 

Arianespace adalah syarikat penyelesaian dan perkhidmatan pelancaran terkemuka dunia.

MEASAT-3b akan dilancar ke orbit pindah geopegun oleh jentera pelancar Ariane 5 dari Guiana Space Center, lapangan kapal angkasa Eropah di French Guiana, pada suku keempat 2013, menurut Arianespace dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean-Yves Le Gall, berkata kontrak terkini itu memberikan lagi pengiktirafan terhadap kualiti cemerlang dan daya saing perkhidmatan pelancaran syarikat. 

Beliau berkata, Arianespace amat berbangga dengan peluang untuk memberi khidmat kepada pengendali utama Asia dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MEASAT kerana meletakkan kepercayaan kepada kami. 

Pengerusi MEASAT, Datuk Umar Abu, berkata MEASAT terus melabur dalam rangkaian satelit syarikat bagi memastikan ia dapat memenuhi keperluan masa depan rakan kongsinya di pasaran teras Asia. 

"Memandangkan kepentingan satelit MEASAT-3b, kami gembira memberi kepercayaan bagi pelancarannya kepada Arianespace yang mempunyai rekod prestasi terbaik." 

MEASAT-3b adalah satelit MEASAT ketiga yang dilancarkan Arianespace, berikutan pelancaran MEASAT-1 dan MEASAT-2 pada 1996. Ia juga menandakan kontrak pelancaran yang ke-10 yang ditandatangani Arianespace pada 2011. 

Satelit berkenaan yang dibina Astrium menggunakan landasan Eurostar E3000, direka untuk menyediakan 48 Ku-band transponder untuk menyokong perkhidmatan penyiaran terus ke rumah (DTH) untuk Malaysia, India dan Indonesia. 

MEASAT-3b itu yang bakal diletakkan pada 91.5 darjah timur akan ditempatkan bersama dengan satelit MEASAT-3 dan MEASAT-3a bagi meningkatkan kedudukan DTH utama Asia. 

Satelit seberat kira-kira 5,800 kilogram ketika pelancaran, akan menyediakan rekaan hayat kira-kira 15 tahun, kata syarikat itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment