My Add

Saturday 24 December 2011

Atasi segera masalah air bersih

Oleh YULPISMAN ASLI
KOTA BHARU, SABTU, 24 Disember, 2011: Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang mengadakan Mesyuarat Agung Kelapan di sini hari ini, meluluskan usul bagi mendesak kerajaan Pas Kelantan menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang dihadapi rakyat negeri ini.

Naib Presiden MTRK, Abdul Kadir Yaacob berkata, pihaknya akan menyerahkan usul tersebut yang mendapat sokongan penuh ahli, kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, usul tersebut diputuskan berikutan gesaan Penasihat MRTK, Datuk Ibrahim Ali yang mahu pertubuhan itu ke hadapan dalam memperjuangkan isu-isu berkepentingan rakyat Kelantan termasuk masalah air bersih.

"Kita minta kerajaan negeri menyelesaikan masalah air bersih ini dengan menerima pelan yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta MTRK dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini lebih prihatin dan fokus dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Kelantan yang dihantui oleh pelbagai masalah serta memerlukan pembelaan.

"Kita kena terima hakikat negeri Kelantan, ibarat kita angkat karpet, di bawah karpet itu penuh macam-macam kekotoran. Maksud saya, kita tahu masalah air tidak bersih, isu peluang pekerjaan, isu berkaitan ekonomi, banyak masalah dihadapi rakyat.

"Apabila parti-parti politik bercakap, rakyat keliru sebab masing-masing menegakkan kebenaran masing-masing, tetapi apabila NGO bercakap, rakyat boleh menilai kebenarannya sebab NGO tidak memihak kepada sesiapa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung MRTK Ke-8 itu.

Turut hadir, Presiden MTRK, Azmi Ali.

Ibrahim turut meminta MTRK menjadi katalis untuk membawa perubahan kepada landskap politik rakyat Kelantan yang berdepan banyak masalah setelah lebih 20 tahun di bawah pemerintahan Pas.

"Saya harap MTRK dapat menjadi katalis yang berwibawa, NGO yang disegani, digeruni baik oleh pihak musuh dan kawan," katanya. - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment