My Add

Saturday 24 December 2011

Badan bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah

AHMAD Bashah Md. Hanipah (kanan) melancarkan laman web selamatkan Madrasah Salihiah Kanchut di Alor Setar, semalam.
ALOR SETAR, SABTU, 2 Disember, 2011: Keengganan kerajaan Pas Kedah bertolak ansur dalam isu Madrasah Salihiah Kanchut, tidak menghentikan usaha jawatankuasa madrasah itu mempertahankannya daripada dirobohkan bagi pembinaan sebuah kompleks beli-belah.

Malah dengan ikrar berjuang habis-habisan, jawatankuasa itu mewujudkan sebuah badan bertindak, Selamatkan Madrasah Salihiah untuk mempertahankan madrasah yang berusia 100 tahun itu.

Badan bertindak yang dianggotai seluruh ahli jawatankuasa dan kariah madrasah itu dilancarkan hari ini oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Menurut Pengerusi jawatankuasa tersebut, Mansor Ahmad, antara langkah awal yang bakal diambil oleh badan tersebut adalah mempersiapkan memorandum bantahan untuk diserahkan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Ini adalah langkah seterusnya yang akan digerakkan oleh badan ini memandangkan kerajaan Pas Kedah tetap berkeras untuk merobohkan bangunan ini.

"Jika usaha tersebut juga gagal, kita akan meneruskan kepada peringkat perundangan pula. Apa yang pasti kita akan mempertahankan madrasah ini habis-habisan," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran badan bertindak itu di pekarangan Madrasah Salihiah Kanchut di Jalan Tambang Badak, dekat sini semalam.

Rabu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberitahu, keputusan merobohkan madrasah tersebut muktamad walaupun pihak jawatankuasa madrasah memperoleh notis penangguhan mengosongkan bangunan itu daripada Pejabat Tanah Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar bertarikh 10 November.

Menurut Azizan, madrasah tersebut tetap dirobohkan setelah projek pembinaan kompleks beli-belah tersebut, Aman Central yang terletak bersebelahan madrasah tersebut selesai memandangkan ia telah dipersetujui Majlis Fatwa Negeri.

Dalam pada itu, menurut Mansor, jawatankuasa itu kini dianggotai 200 ahli terdiri daripada kariah madrasah tersebut dan turut mempelawa seluruh rakyat di seluruh negara menjadi ahli demi memperkukuhkan usaha mereka mempertahankan madrasah itu.

Mereka yang berminat untuk menjadi ahli boleh menghantar nama dan nombor telefon ke talian 011-14717736 atau emel kepada savemadrasah@yahoo.com. - UM

No comments:

Post a Comment