My Add

Monday 19 December 2011

Baucar buku RM200 mula diedar minggu pertama Januari

JOHOR BAHRU, ISNIN, 19 Disember, 2011; Baucar buku bernilai RM260 juta bagi 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara akan mula diagihkan pada minggu pertama Januari depan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap penuntut akan menerima baucar RM200 dalam bentuk empat keping baucar RM50 dan bukan wang tunai.

"Mereka boleh membeli buku di kedai-kedai buku dilantik dan berdaftar dengan pihak kementerian dan baucar itu hanya boleh digunakan di kedai tertentu.

"Bagi mendapatkan baucar itu, penerimanya perlu menyerahkan kad pengenalan kepada pihak universiti masing-masing untuk tuntutan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti Pasir Gudang dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Tan Cher Puk; ADUN Permas, Datuk M. Munusamy dan Pengarah Kolej Komuniti Pasir Gudang, Jahabar Jainul Abideen.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta 40 peratus golongan muda daripada 250,000 penduduk Pasir Gudang supaya merebut peluang kemahiran yang ditawarkan di Kolej Komuniti Pasir Gudang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, kolej berkenaan menawarkan banyak peluang untuk mereka antaranya dalam bidang kemahiran, agama dan muzik. - UM

No comments:

Post a Comment