My Add

Sunday 4 December 2011

Bawa pulang aura perhimpunan

ADALAH diharapkan orang UMNO menghayati aura dan semangat perhimpunan kali ini dan bertahan lama sehingga mereka pulang dan seterusnya dilimpahkan melalui kemenangan pada pilihan raya kelak.

Oleh Zulkefli Hamzah
LEBIH 10 kali saya beraksi depan TV,” kata Datuk Mukhriz Dr. Mahathir kepada rakan-rakan perwakilan menjelaskan debar yang terpaksa dilalui untuk berucap di pentas Perhimpunan Agung UMNO.

Betapa seorang Mukhriz, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pun masih ‘gentar’ menghadapi perhimpunan ini, bayangkan perasaan perwakilan lain yang kurang pengalaman berucap di khalayak ramai.

Tetapi inilah aura Perhimpunan Agung UMNO. Di tengah-tengah propaganda pembangkang yang disalurkan bertali arus bahawa UMNO tidak lagi relevan dan kritikan perbahasan yang hambar, perhimpunan kali ini membuktikan ia tetap gagah, gemuruh dan gah.

“Lihat ini,” tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merujuk gambar-

gambar perhimpunan bagaimana berdisiplinnya perwakilan mengikuti perbahasan dan suasana hubungan akrab antara pemimpin dan ahli parti.

Mereka yang pernah berada di pentas Muktamar Pas mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR), tentunya merasakan suasananya adalah jauh berbeza.

Malah Konvensyen PKR di Johor Bahru minggu lalu yang kononnya untuk menggempur kubu kuat UMNO itu, gagal menggambarkan ia sebuah parti yang ada harapan. Kerusi banyak kosong dan mesyuarat pun dicampur-aduk dengan aktiviti ceramah.

Dalam banyak aspek, perhimpunan agung ini telah meletakkan UMNO dalam kedudukan yang kukuh, sepadu dan sekata. Tetapi mungkinkah semangat dan aura perhimpunan ini akan dibawa pulang ke bahagian dan cawangan dalam suasana menjelang suasana pilihan raya umum ini?.

Mampukah mereka menjadi ‘orang UMNO’, mempertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga?

Bolehkah mereka tidak mengulangi perbuatan seperti diperingatkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak mahu ‘bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng tapi di belakang lain pulak halnya.?'

Bolehkah larangan jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang apabila mereka atau kelompok mereka tidak dicalonkan? Bolehkah bukan sahaja jari telunjuk, tetapi kelingking mereka juga lurus?

Hal-hal negatif yang seakan sudah membudaya ini tidak boleh sama sekali dipandang ringan. Bukan sahaja Presiden malah Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin acap kali membangkitkannya. Semasa berucap di depan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, itulah juga yang ditekankan.

Jangan lari daripada medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan ‘mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya.

Dan, banyak lagi ‘jangan’ yang dibangkitkan oleh pembahas pada perhimpunan UMNO ini. Tetapi masih ramai yang melihat pesimis perangai seperti ini dapat dibuang walaupun semboyan berubah dan transformasi telah ditiup sejak bertahun-tahun.

“Saya pesimis” kata seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO yang gemar melontarkan provokasi agar ahli UMNO berubah terutama dalam menghadapi ibu segala pilihan raya akan datang.

Kerenah

Ramai menyifatkan transformasi UMNO bergerak lambat antara lainnya kerana kerenah warlord di peringkat bahagian dan cawangan. Cuba amati pembahas pada perhimpunan ini, rata-ratanya adalah muka-muka lama.

Difahamkan sekretariat ada memaklumkan kepada perhubungan negeri supaya muka-muka baru berwibawa ditonjolkan, sekurang-kurangnya dapat memberi imej parti ini mempunyai variasi. Ada muka lama, orang baru dan pembahas muda kerana itulah UMNO - parti untuk semua.

“Sepatutnya perhubungan negeri mengetengahkan pembahas terbaik, tapi mungkin takut...,’ reaksi seorang peguam muda yang bertekad untuk terus menggunakan platform UMNO untuk perjuangan agama, bangsa dan negara walaupun tahu ada kala kehadirannya tidak disenangi kerana boleh menjejaskan peluang orang-orang tertentu.

Antara orang muda yang ditonjolkan pada perhimpunan kali ini ialah wakil dari Perlis. Kehadiran Fathul Bari Mat Jahya, seorang ustaz muda berpendidikan di Jordan menjadi penyeri pada perhimpunan ini. Beliau anak muda berusia 31 tahun yang namanya sedang meningkat naik, petah bercakap dan cerdas berhujah.

Pelajar PhD di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini memang diharap dapat memulihkan imej UMNO untuk menawan hati orang muda - 40 peratus daripada jumlah pengundi.

Beliau yang bergerak dalam kumpulan ulama muda UMNO turut memanfaatkan medium Internet. Orang seperti inilah yang diharap bakal menggantikan pembahas berkarisma, Datuk Zainal Abidin Sakom mahupun Mohd, Kamal Saidin yang turut berbahas pada perhimpunan kali ini.

Pintu UMNO seperti dinyatakan oleh Fathul dalam perbahasannya sentiasa terbuka khususnya dalam menghadapi gelombang politik moden sekarang ini. Beliau mengakui tidak pernah mendapat halangan untuk aktif dalam aktiviti bercorak keagamaan dalam UMNO.

Umur UMNO yang kini 65 tahun, harus dilihat sebagai parti yang arif, bukan parti uzur. Orang seperti Fathul akan memberi wajah muda kepada UMNO. Begitu juga ulama vokal Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang hadir sebagai pemerhati membuktikan UMNO semakin membuka pintu dan memberi peranan kepada golongan ulama.

Kesungguhan

Memang setakat ini ia belum mencukupi, terutama untuk menghadapi fatwa mengelirukan Pas. Tetapi dalam perhimpunan kali ini - khususnya dalam ucapan pemimpin dan perwakilan - menampakkan kesungguhan UMNO untuk menyahut seruan transformasi.

Sejak Pilihan Raya Umum 2008, memang banyak perubahan telah berlaku. Perwakilan dan ahli UMNO tidak lagi sebimbang dulu. Mereka lebih yakin untuk menghadapi satu lagi pilihan raya.

“Sudah berubah, kita boleh menang,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed yang melihat angin perubahan bukan sahaja di Kelantan tetapi juga Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Mustapha atau Tok Pa kini dilihat sebagai seorang tokoh yang wibawa dan imejnya mengatasi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Begitu juga Datuk Seri Idris Jusoh yang cepat menepis andaian Pas akan menawan semula Terengganu. “Tinjauan di akar umbi tidak begitu,” tegas beliau yang pada perhimpunan ini mengumumkan bersedia untuk tidak dicalonkan semula. Tetapi ada ura-ura, Idris yang kini diberi tanggungjawab memimpin Mara, akan bertanding di kawasan Parlimen. Beliau percaya BN akan menang lebih besar di Terengganu.

Biarlah dalam umurnya ini, UMNO ibarat orang arif dan bijaksana, menggunakan pengalamannya untuk menjadi parti yang lebih baik. Pengalaman yang dijadikan guru untuk meniti buih, membawa UMNO kepada kemenangan.

Dan, perhimpunan kali ini tentu sekali akan tambah mematangkan UMNO dan orang UMNO. Aura perhimpunan agung masih di situ. Tentu sekali rakyat mengharapkan aura dan semangat perhimpunan ini dapat meresap, bertahan lama sehingga mereka pulang dan seterusnya dilimpahkan melalui kemenangan pada pilihan raya kelak. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment