My Add

Sunday 4 December 2011

Janji taat setia kepada parti

MUHYIDDIN Yassin melafazkan ikrar taat setia kepada parti semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

ALHAMDULILLAH, kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita telah pun sampai di penghujung Perhimpunan Agung UMNO yang kita adakan pada hari ini.

Terlebih dahulu, saya ingin rakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada sidang perwakilan kita yang telah pun berkampung di sini, tiga hari tiga malam dan telah pun dapat mengambil kesempatan untuk berbincang dan berbahas secara cukup berhemah dalam peringkat-peringkat perbahasan yang telah dilangsungkan selama ini.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini, pertamanya, ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Presiden di atas Ucapan Dasar yang cukup bermakna dan sarat dengan gagasan-gagasan yang penting untuk menjuarai transformasi parti dan negara kita.

Sesungguhnya, Yang Berhormat Presiden adalah juara transformasi negara kita.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini, untuk ucapkan setinggi-tinggi terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Presiden yang selama ini beri sepenuh kepercayaan kepada saya untuk membantu beliau melayari bahtera perjuangan parti.

Pengiktirafan Yang Berhormat Presiden kepada saya sebagai Timbalan Presiden yang setia, amat saya hargai dan ucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Saya ingin mengambil kesempatan di awal-awal ini, untuk jelaskan beberapa perkara pokok yang telah dibangkitkan oleh para pembahas khususnya dalam membahaskan usul berkaitan dengan agama, pendidikan dan sosial.

Ini berhubung kait dengan tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri Pelajaran di Kementerian Pelajaran Malaysia.

Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberi oleh saudara-saudari sekalian kepada dasar-dasar utama di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Seperti dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), dasar satu murid satu sukan, dasar transformasi pendidikan vokasional dan juga teknikal dan pendidikan Islam.

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi terima kasih kepada lebih 500,000 warga pendidik, guru-guru di seluruh negara yang telah memikul amanah dan tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa kita semua.

Mengenai pendidikan Islam, pelaksanaan J-Qaf di peringkat rendah yang telah kita memulakan pada 2005 telah pun dapat berjalan dengan baik dan sekarang ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan program J-Qaf di 4,747 buah sekolah rendah dan hanya tinggal 529 buah sekolah rendah sahaja yang belum laksanakan program tersebut.

Sepanjang pelaksanaan program ini, Kementerian Pelajaran mendapati ia sangat berkesan berdasarkan kepada pencapaian murid melebihi 94 peratus menguasai empat kemahiran iaitu jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran memang bersedia dan sedang merancang untuk memperluaskan program J-Qaf di peringkat sekolah menengah sebagaimana yang disarankan oleh saudara dalam perbahasan usul ini.

Untuk makluman, program rintis J-Qaf menengah akan dilaksanakan pada pertengahan tahun 2012 dan pelaksanaan sepenuhnya pada tahun 2013.

Kementerian Pelajaran juga akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada semua sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah agama rakyat.

Kita menggalakkan sekolah agama rakyat ini berdaftar dengan kementerian, supaya bantuan yang lebih terancang dapat disalurkan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan akses pendidikan Islam kepada ibu bapa yang mahukan pendidikan Islam untuk anak-anak mereka.

Mengenai cadangan supaya Kementerian Pelajaran menubuhkan sekolah kebangsaan agama, berdasarkan permintaan ibu bapa sebagaimana kewujudan sekolah menengah kebangsaan agama, perkara ini akan diperhalusi oleh kementerian saya untuk memastikan keberkesanannya.

Dalam soal pendidikan vokasional, transformasi sistem pendidikan vokasional akan dilaksanakan mengikut pelan tindakan strategik dalam tempoh 2011 hingga 2020 yang dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu fasa lonjakan dari 2011 hingga 2013, fasa peningkatan daripada 2014 hingga 2016 dan fasa pemerkasaan daripada 2017 hingga 2020.

Dan untuk mencapai hasrat ini, kementerian telah merangka lima strategi dan lima inisiatif dan 11 tindakan.

Pelan strategi ini akan mengarus perdanakan pendidikan vokasional di peringkat sekolah bermula dari tahun 2013 untuk sasaran enrolmen sebanyak 20 peratus pada tahun 2015, supaya setanding dengan negara serantau dan juga negara maju yang lain.

Dalam transformasi pendidikan vokasional ini, Kementerian Pelajaran Malaysia telah pun mengambil langkah untuk memperkenalkan program pendidikan asas vokasional pada peringkat menengah rendah iaitu tingkatan satu hingga tingkatan tiga di sekolah menengah harian.

Murid yang mengikuti program ini akan dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia tahap satu dan tahap dua di akhir tingkatan tiga. Usaha ini akan dapat melahirkan tenaga kerja mahir negara dalam usia yang lebih muda lagi.

Sebagai projek rintis, sebanyak 15 buah sekolah menengah kebangsaan telah pun dikenal pasti untuk melaksanakan program ini pada tahun 2012.

Tawaran kepada murid-murid yang telah pun memohon, sedang pun dilakukan dan sehingga kini secara keseluruhannya permohonan kemasukannya telah melebihi 100 peratus di kebanyakan negeri.

Di peringkat menengah pula, sebanyak 78 buah sekolah menengah vokasional yang sedia ada akan dinaikkan taraf kepada kolej vokasional dengan menawarkan program pengajian selama empat tahun untuk melayakkan mereka dianugerahkan diploma kolej vokasional.

Program kolej vokasional akan mengukuhkan kemahiran komunikasi bahasa Inggeris, keusahawanan melalui program keusahawanan sekolah atau 'school enterprise' dan kemahiran insaniah.

Kemasukan kolej vokasional ini adalah berdasarkan keputusan PMR seperti mana sebelum ini untuk memasuki sekolah menengah vokasional.

Kursus-kursus yang ditawarkan adalah bidang yang diperlukan di enam koridor ekonomi negara dan juga memenuhi Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA).

Vokasional

Sebanyak 53 program pengajian telah dikenal pasti yang meliputi 12 bidang keutamaan.

Kolej vokasional merupakan laluan kepada pelajar-pelajar pendidikan asas vokasional dan sebagai projek rintis, 15 sekolah menengah vokasional akan dinaikkan taraf sebuah kolej vokasional pada tahun 2012. Pengambilan pelajar pertama kolej vokasional ini adalah pada minggu pertama Januari 2012.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada ibu pejabat parti atas kejayaan mendapatkan pensijilan ISO 9001:2008 untuk pengurusan keahlian.

Program sayap pergerakan dan juga pentadbiran UMNO. Bagaimana disebutkan inilah satu-satunya parti politik di Asia dan juga kedua di dunia yang mendapat pensijilan ISO ini. Tahniah sekali lagi kita ucapkan kepada ibu pejabat.

Selaku Timbalan Presiden dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO, saya ingin memaklumkan bahawa saya telah pun turun ke negeri-negeri. Turun padang dan melawat ke beberapa buah bahagian di seluruh negara. Dan selama ini sebanyak dua pusingan telah pun saya lakukan.

Saya ingin menyatakan bahawa kita akan memberikan fokus kepada beberapa kawasan-kawasan terpilih di seluruh negara dan saya nak mengajak pimpinan yang berada di atas, Naib-Naib Presiden, pimpinan sayap-sayap parti, ahli-ahli Majlis Tertinggi dan juga ketua-ketua parti kita termasuklah ketua-ketua komponen parti untuk bersama-sama menentukan agar kawasan-kawasan yang kita berikan tumpuan ini bukan sahaja mendapat kemenangan tetapi menentukan kejayaan kita dalam pilihan raya umum yang akan datang ini.

Seperkara yang telah dibangkitkan dalam persidangan kita di sini ialah cadangan supaya Lembaga Disiplin kita membuat pemantauan semasa pilihan raya untuk memastikan ahli-ahli mematuhi disiplin parti.

Saya telah pun berbincang dengan Yang Amat Berhormat Presiden parti dan beliau bersetuju supaya ahli-ahli Lembaga Disiplin parti membuat tinjauan ke kawasan-kawasan pilihan raya waktu sebelum dan semasa pilihan raya diadakan dan juga mengambil tindakan-tindakan yang sesuai mengikut prosedur yang telah pun ditetapkan dari segi pelanggaran disiplin semasa pilihan raya.

Saya ingin memaklumkan bahawa pada pilihan raya 2008 yang lepas terdapat beberapa kes yang telah pun diadukan kepada pihak pengurusan dan pihak pengurusan parti telah pun membawanya kepada pihak Lembaga Disiplin.

Saya ingin memaklumkan ada 22 kes yang telah pun di bawa ke pihak Lembaga Disiplin dan daripada kes itu, dia datang daripada enam buah negeri. Saya tak payah nak sebutkan siapa ataupun negeri mana dan daripada kes itu tiga orang ahli parti kita telah pun kita pecat kerana melanggar disiplin parti dalam soal pilihan raya.

Di samping itu, ada enam orang ahli yang telah pun digantung selama tiga tahun keahliannya. Seorang ahli telah pun diberikan amaran keras dan yang 12 berbaki didapati tidak bersalah kerana tidak mempunyai bukti-bukti yang kukuh.

Dalam ucapan penggulungan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk menggariskan beberapa ramuan yang saya kira adalah penting untuk menjamin kemenangan parti kita dalam pilihan raya yang akan datang.

Saya kira tidak ada ramuan ajaib untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional kecuali tumpuan-tumpuan kerja kita yang nak kita laksanakan dalam tempoh beberapa masa yang akan datang ini.

Tetapi kita juga bekerja bersungguh-sungguh untuk memenangkan parti dengan mengamalkan ramuan-ramuan ini maka insya-Allah, parti UMNO ini akan memperolehi kejayaan dan kita dapat mempertahankan kedudukan dan kuasa politik kita di negara ini dalam pilihan raya yang akan datang.

Pertamanya, ialah bersatu. Selaras dengan slogan UMNO, demi untuk kemenangan parti kita, tentulah soal perpaduan dalam parti adalah amat utama.

Saya pernah menyebutkan pada persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri pada tahun lepas di mana kita menyebutkan tentang pentingnya ada kesatuan hati (Wahdatul Qalb), pentingnya kita mempunyai kesatuan fikiran (Wahdatul Fikr) dan kita menentukan supaya adanya kesatuan dari segi matlamat (Wahdatul Hadaf) dan segala-galanya dapat kita terjemahkan dengan kesatuan amal (Wahdatul Amal).

Dalam konteks pilihan raya, kita jelmakan kesatuan kita ini dengan menerima sesiapa sahaja yang dipilih oleh Presiden parti untuk menjadi calon.

Telah pun kita sebutkan dalam masa persidangan ini jangan ada tindakan-tindakan yang boleh membawa kesan ataupun bencana kepada parti kita. Jangan ambil tindakan-tindakan tikam belakang ataupun disebutkan mengambil tindakan cah keting, jangan peteh dan menimbulkan masalah-masalah baru dalam parti kita.

Sudah cukup masalah yang sedia ada yang perlu kita tangani maka di waktu kita menghadapi pilihan raya akan datang jangan kita wujudkan masalah-masalah baru di antara kita sesama kita.

Soal keduanya, ialah soal kesetiaan kita kepada parti. Ini juga telah disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Presiden parti dalam ucapan dasar beliau. Menekankan tentang pentingnya setiap ahli parti menumpahkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada parti.

Tidak mengambil sesuatu langkah yang dianggap sebagai tidak setia. Berbuat sesuatu yang dianggap akan melanggar bukan sahaja peraturan tetapi tata susila dan apa lagi kalau dia boleh merosakkan parti.

Maka penting bagi kita dan di waktu yang agak mencabar ini, kita menumpukan sepenuh taat setia kepada pimpinan kita, taat setia kita kepada parti dan tidak berbuat sesuatu yang boleh membawa kesan buruk kepada pihak parti kita di masa-masa yang akan datang ini.

Ada perkara yang dikaitkan dengan soal ini yang pernah disebutkan oleh seseorang sasterawan, Tenas Effendy:

Didahulukan selangkah

Ditinggikan seranting

Diberikan amanah dan petua

Diberikan kepercayaan dan kuasa

Supaya bercakap lidahnya masin

Supaya melenggang tidak terpepas

Supaya melangkah tidak terhalang

Adil menimbang, bijak melangkah

Duduk berilmu tegak beramanah

Di atas yang hak dia berumah

Di atas yang benar, dia bertanah

Di atas yang ikhlas dia berpetua

Tanggungjawab

Inilah pengorbanan dan dokongan kita pada pimpinan kita dengan harapan itu kita dapat melayari segala tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Ketiganya, ialah berkhidmat. Berkhidmat, berparti dan rakyat dengan sepenuh hati dan jangan kita berkira mengerjakan kerja-kerja parti. Kita mendahulukan kepentingan parti, kita berada dalam saat yang dikatakan amat genting dan kita perlu memberikan tumpuan dan khidmat parti dan kita lipat gandakan usaha kita.

Bagaimana Presiden juga pernah menyebutkan, business is not a visual, they are present iaitu kita boleh mengambil pendekatan yang sama tanpa mengambil kira perubahan masa dan keadaan yang memerlukan kita memberi penumpuan dengan cara kita dan khidmat kita yang terbaik.

Keempatnya, ialah pengorbanan ataupun korban. Konsep korban ini telah pun kita hayati pada waktu kita menyambut Hari Raya Aidiladha yang lalu. Di mana kita memerlukan pengorbanan sepenuh masa, tenaga dan fikiran untuk memastikan kemenangan parti kita dalam pilihan raya yang akan datang.

Jihad untuk memenangkan parti kita, jihad untuk memastikan survival bangsa dan agama kita adalah satu pengorbanan yang amat besar sekali yang harus dipertanggungjawabkan dan dilaksanakan oleh kita secara sebaik-baiknya.

Dalam kita melaksanakan jihad ini, orang UMNO mesti berkorban jiwa dan raga untuk parti tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran. Bukan ada apa-apa niat selain daripada niat kita untuk memenangkan UMNO.

Pengorbanan ini adalah sebahagian daripada impak fisabilillah ganjaran pun insya-Allah datang daripada Allah SWT, berkorban apa sahaja, harta pangkat dan nyawa. Bila tiba pilihan raya pastikan UMNO menang bergaya.

Kelimanya, ialah berusaha, yakni berusahalah kita dengan segigih-gigihnya untuk memenangkan parti kita. Usaha adalah tangga kejayaan kita. Daripada mulanya semangat yang berkobar-kobar untuk menang dalam pilihan raya dapat kita terjemahkannya dalam usaha yang tersusun, usaha yang teratur, usaha yang berstrategi dan usaha yang terancang.

Rancang usaha kita ini dengan rapi dan kita buat kerja sebagai satu pasukan seperti yang harus kita laksanakan secara bersama-sama. Semua orang UMNO mesti jadi apa yang disebutkan sebagai good team player. Seperti juga dalam satu pasukan bola sepak, yang bagus jadi penyerang, dia kena jadi penyerang, yang bagus jadi penjaga gol, dia mesti jadi penjaga gol.

Jangan yang bagus jadi penjaga gol dia nak jadi penyerang atau sebaliknya dan yang paling penting jangan sumbat gol sendiri. Inilah paling pantang dalam perlawanan bola sepak dan begitu jugalah dalam pilihan raya. Jangan score gol sendiri.

Yang keenam ialah reda. Sebagai seorang Islam, kita kena percaya kepada qada dan qadar. Segala-galanya sudah ditentukan oleh Allah SWT dan sebab itu kalau kita tidak terpilih sebagai calon, ini adalah ketentuan Allah dan kita terimalah dengan hati yang terbuka.

Jangan kecewa kerana dengan sifat keredaan itu, maka Allah SWT akan membalas kita. Mungkin bukan peluang kita pada waktu ini, mungkin bukan rezeki kita pada waktu ini, tetapi insya-Allah dengan tabah kita, dengan sifat reda kita pada perjuangan kita, maka Allah SWT akan memberikan ganjarannya di suatu masa yang akan datang.

Dalam ayat al-Quran Nur Karim, dalam surah al- Baqarah ayat 286 yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya."

Yang pentingnya kita semua ada peranan masing-masing. Yang tidak menjadi calon tidak bermakna berakhirnya sumbangan ataupun riwayat politik kita.

Ketujuhnya, ialah bertawakal. Berusahalah kita dengan bersungguh-sungguh, kita yakinlah dengan keputusan yang dibuat dan kita berserahlah kepada Allah SWT, mudah-mudahan Allah akan memberkati segala usaha kita dan memberkati perjuangan kita dan memberikan kita kemenangan dalam pilihan raya yang akan datang ini.

Datuk Pengerusi Tetap, sempena perhimpunan agung kita kali ini, yang dikatakan oleh banyak pihak merupakan perhimpunan yang terakhir sebelum kita menghadapi pilihan raya, dengan persetujuan Yang Amat Berhormat Presiden parti, marilah kita lafazkan taat setia kita kepada parti demi kelangsungan perjuangan memartabatkan agama, mengangkat maruah bangsa dan juga mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta.

Marilah kita sama-sama bangun dengan semangat kesatuan dan kesepakatan, kejujuran dan keikhlasan, keyakinan dan kesungguhan untuk meraih sokongan padu rakyat demi kemenangan kita dalam pilihan raya yang akan datang.

Ayuh! Marilah saudara saudari semua kita lafazkan ikrar taat setia ini.

Kami orang UMNO,

berikrar untuk merapatkan saf perjuangan, mengeratkan ukhuwah, menghapuskan sengketa, menghindari hasad dengki dan iri hati, dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

Kami orang UMNO,

berjanji, taat dan setia kepada parti, dengan memberikan sepenuh kepercayaan, dan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Presiden, untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya nanti.

Kami orang UMNO,

bersumpah untuk bekerja dengan gigih, tersusun dan teratur, berjihad dan berinfak di jalan Allah SWT, bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kami orang UMNO berikrar,

untuk memberikan sokongan padu, dan tidak berbelah bagi kepada calon-calon, yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding dalam pilihan raya nanti.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT semoga dipertautkan hati-hati kita untuk terus beristiqamah berada dalam saf perjuangan membela agama, memartabatkan bangsa, mendaulatkan negara dan memperkasakan siasah parti kita UMNO.

Bismillahirrahmanirrahim. Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu.

Maka eratkanlah Ya Allah, akan ikatannya, kekalkan kemesraan antara hati-hati ini, tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalan-Nya yang benar, penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan keimanan dan keindahan tawakal kepada-Mu.

Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat tentang-Mu jika Engkau takdirkan kami mati, maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu.

Sesungguhnya Engkau sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenanlah permintaan ini, Ya Allah restuilah dan sejahteralah perjuangan junjungan Nabi Muhammad SAW dan keluarga dan para sahabat baginda semuanya.

Dengan ini saya ucapkan terima kasih.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. - Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment