My Add

Monday 5 December 2011

Belia India diseru sokong BN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Disember, 2011:
BBELIA India diseru menyokong Barisan Nasional (BN) agar kebajikan mereka terus terjamin.

Menteri Sumber Manusia, Datuk S. Subramaniam berkata, sokongan belia India amat penting untuk BN mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Selama ini kerajaan telah banyak membantu dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat India.

“Contohnya, tiga tahun lalu kerajaan memberi peruntukan RM230 juta bagi membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Ini jelas menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil berat akan rakyatnya tanpa mengira kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Jamuan Deepavali 2011 anjuran Kelab Pemuda Rekreasi Kajang di Seri Kembangan dekat sini, semalam.

Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, kehadiran kira-kira 7,000 ahli kelab itu memberi keyakinan bahawa belia India semakin mempercayai barisan kepimpinan BN.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, beliau yakin PRU13 mampu dimenangi oleh BN sekiranya masyarakat India terus memberi sokongan terhadap tampuk pimpinan itu.

“Walaupun dulu BN kalah di kebanyakan kawasan estet, kita harap pada PRU13 nanti mereka membuka mata untuk memilih parti yang benar-benar layak untuk memimpin negara seterusnya menjaga kebajikan masyarakat India.

“BN tidak hanya menumpukan kepada kebajikan masyarakat Melayu, tetapi juga kaum-kaum lain, termasuklah kaum India, " katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - UM

No comments:

Post a Comment